SEREMBAN, 28 Mei (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyuarakan kebimbangan terhadap trend peningkatan kes kenderaan barangan (KPB) dan kenderaan perkhidmatan awam (KPA) yang memandu secara berterusan di lorong paling kanan lebuh raya.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata sebanyak 800 tindakan penguatkuasaan telah diambil sepanjang tahun lalu atas kesalahan berkenaan, manakala 220 saman pula dikeluarkan bagi tempoh sehingga April tahun ini melibatkan kenderaan berat.
"Apabila kenderaan berat berada di lorong paling kanan, ini bermakna mereka memandu melebihi had laju yang ditetapkan iaitu antara 80 hingga 90 kilometer sejam (km/j).
“Malah ada bukti menunjukkan mereka memandu lebih 100 km/j, sekali gus menjadi antara punca kemalangan membabitkan kenderaan berat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program pelaksanaan Operasi Penguatkuasaan Teknikal Kenderaan Perdagangan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah selatan, hari ini.
Turut hadir, Pengarah JPJ Negeri Sembilan Hanif Yusabra Yusuf.
Aedy Fadly berkata penguatkuasaan terhadap kesalahan itu dijalankan mengikut Kaedah 4A Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan tindakan lebih tegas akan diambil bagi memastikan pematuhan peraturan keselamatan jalan raya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan JPJ akan melaksanakan Operasi Khas Hari Raya Aidiladha 2025 bermula 4 Jun hingga 10 Jun ini, khusus bagi memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang.
“Operasi ini merangkumi strategi penguatkuasaan seperti Op Bas di depoh, Op Khas Sembilan Kesalahan Utama, Op Khas Kenderaan Perkhidmatan Awam, pemantauan di terminal, Op Kenderaan Barangan, Op Motosikal serta Op Teknikal,” katanya.
Beliau berkata JPJ turut menumpukan kepada sembilan kesalahan utama di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) termasuk memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat merah, memotong garisan berkembar dan memandu di lorong kecemasan.
“JPJ komited memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin serta menyasarkan pengurangan statistik kematian dan kecederaan akibat kemalangan sekurang-kurangnya 50 peratus menjelang 2030,” katanya.
-- BERNAMA