AM

Insentif Luar Waktu Puncak , Lori Masuk Pelabuhan Klang Terima Insentif

29/05/2025 08:46 PM

PUTRAJAYA, 29 Mei (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) mengumumkan dua inisiatif baharu bagi mengurangkan kesesakan jalan raya dan risiko kemalangan melibatkan kenderaan berat ke Pelabuhan Klang.

Menterinya Anthony Loke berkata insentif berbentuk kewangan disediakan bagi pengangkut barangan atau   haulier yang memilih memasuki pelabuhan itu di luar waktu puncak, iaitu antara 8 malam hingga 8 pagi.

“Setiap pergerakan dua hala akan menerima insentif RM15, manakala pergerakan sehala akan diberi RM7.50,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) di sini, hari ini.

Beliau berkata inisiatif itu diluluskan dalam mesyuarat NLTF dan kosnya akan dibiayai melalui pelaksanaan Terminal Access Charge (TAC) sebanyak RM10 yang dikenakan kepada haulier pada waktu puncak, iaitu antara 8 pagi hingga 8 malam.

“Pengenaan TAC dan pemberian insentif dikecualikan pada hari Ahad dan cuti umum,” katanya.

Loke berkata projek rintis insentif berkenaan bermula Ogos ini, manakala pelaksanaan sepenuhnya dijangka bermula awal tahun depan.

Katanya pengeksport dan pengimport yang berjaya memindahkan sekurang-kurangnya 50 peratus pergerakan haulier ke luar waktu puncak sebelum atau pada 1 Julai 2025, layak menerima lanjutan tempoh simpanan percuma kontena.

“Kegagalan mematuhi nisbah 50:50 ini boleh menyebabkan insentif ditarik balik atau dikurangkan,” katanya.

Beliau berkata mulai 1 Julai ini, infrastruktur pelabuhan akan digunakan bagi memperluas tindakan penguatkuasaan terhadap isu lebihan muatan oleh kenderaan berat.

“Penguatkuasaan akan dilaksanakan di semua pelabuhan persekutuan di Semenanjung Malaysia. Perincian dasar berkaitan kesalahan lebihan muatan akan dimaklumkan oleh pihak berkuasa pelabuhan masing-masing kepada pemain industri,” katanya.

Loke berkata insentif peralihan ke luar waktu puncak adalah sebahagian komitmen jangka panjang MOT untuk menambah baik keselamatan jalan raya demi kesejahteraan pengguna.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2428969