KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Sejumlah 41 sekuriti telah diklasifikasikan sebagai patuh syariah, manakala sembilan lagi telah dikategorikan sebagai sekuriti yang tidak patuh syariah, menurut laporan terkini Suruhanjaya Sekuriti (SC) Malaysia.
Laporan itu, yang dipaparkan melalui laman webnya dengan tajuk "Senarai Sekuriti yang Patuh Syariah oleh Majlis Penasihat Syariah (SAC) SC Malaysia" menyatakan bahawa senarai yang dikemas kini itu telah berkuatkuasa mulai hari ini.
Ini membawa bilangan sekuriti yang patuh syariah di Bursa Malaysia kepada 850 atau 80 peratus daripada jumlah keseluruhan sekuriti.
Berdasarkan laporan itu, di antara 41 sekuriti yang diklasifikasikan sebagai sekuriti patuh syariah adalah AIMFLEX Bhd, Apex Healthcare Bhd, CJ Century Logistics Bhd, IOI Properties Group Bhd dan WTEC Group Bhd.
Sementara itu, sembilan sekuriti yang diklasifikasikan sebagai sekuriti bukan patuh syariah adalah Carzo Holdings Bhd, Guocoland (M) Bhd, MAG Holdings Bhd, Rhong Khen International Bhd, Saliran Group Bhd, Sarawak Cable Bhd, TP Tec Holding Bhd, VETECE Holding Bhd dan Vsolar Group Bhd.
"Dalam mengklasifikasikan sekuriti-sekuriti ini, SAC menerima input serta sokongan dari SC. SC memperoleh maklumat mengenai syarikat-syarikat ini melalui, antara lain, laporan tahunan, pertanyaan yang dibuat kepada syarikat-syarikat berkenaan dan maklumat lain yang relevan yang boleh diterima oleh SAC," katanya.
Di samping itu, SAC melalui SC, akan terus mengkaji semula status syariah sekuriti yang disenaraikan di Bursa Malaysia Securities Bhd secara tahunan, berdasarkan audit penyata kewangan tahunan yang tersedia.
Untuk senarai itu, SAC mengkaji penyata kewangan yang diaudit yang dikeluarkan antara 1 Oktober, 2024 hingga 31 Mac 2025, seperti yang disediakan di laman web Bursa Malaysia.
"SAC mengamalkan pendekatan kuantitatif dua peringkat seperti penggunaan penanda aras aktiviti perniagaan serta penanda aras nisbah kewangan, dalam menentukan status syariah sekuriti yang disenaraikan.
"Oleh itu, sekuriti akan diklasifikasikan sebagai patuh syariah jika aktiviti perniagaan dan nisbah kewangan mereka berada di bawah tanda aras ini," katanya lagi.
-- BERNAMA