EKONOMI

JCorp Perkasa Usahawan Bumiputera Untuk Bersaing Dalam Rantaian Bekalan Serantau

30/05/2025 07:10 PM

Oleh Mohd Khairi Idham Amran

JOHOR BAHRU, 30 Mei (Bernama) -- Johor Corporation (JCorp) menumpukan usaha memperkasakan usahawan bumiputera untuk mereka bersaing dalam rantaian bekalan serantau yang terhubung dengan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Presiden dan Ketua Eksekutif Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata pihaknya memberi sokongan kepada usahawan bumiputera melalui pelbagai inisiatif.

Beliau berkata usaha itu meliputi penambahan kemahiran perusahaan di Pusat Pembangunan Kemahiran Johor (Johor Skills) hingga kesediaan pemerolehan, pensijilan sektoral dan sokongan pembiayaan melalui kerjasama dengan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), SME Corp dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Semua inisiatif itu bukan program kendiri sebaliknya sebahagian daripada strategi tersusun untuk mengintegrasikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bumiputera dengan sektor pertumbuhan tinggi seperti logistik, perkhidmatan digital dan agrimakanan.

“Penyertaan tanpa keupayaan akan menyebabkan pergantungan. Kami sedang membina perniagaan yang kukuh, boleh skala dan kekal relevan dalam ekonomi masa depan,” katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Syed Mohamed berkata syarikat milik kerajaan negeri itu juga bekerjasama dengan rakan sekutu untuk mewujudkan laluan bimbingan industri dan platform akses pasaran bagi memastikan daya maju perniagaan jangka masa panjang, bukan hanya penyertaan bagi jangka masa pendek.

Selain itu, JCorp juga merancang untuk kawasan selain JS-SEZ dan koridor ekonomi utama mendapat manfaat daripada pembangunan ekonomi, katanya.

“Kami melakukannya dengan merancang dari awal untuk kesan limpahan, bukan berselerak. Kami merancang dengan hasrat untuk pertumbuhan seimbang, memastikan pembangunan sampai ke kawasan di luar koridor utama.

“Pertumbuhan seimbang memerlukan perancangan teratur. Kami tidak menunggu pasaran meluas perlahan-lahan, sebaliknya kami memulakan pembangunan di tempat yang paling memerlukan,” katanya.

Syed Mohamed berkata JCorp giat membangunkan koridor ekonomi melangkaui kawasan selatan Johor, seperti Kompleks Minyak Sawit Mampan Bersepadu (iSPOC) di Pasir Logok.

Ia merupakan projek agroindustri strategik yang direka untuk menyokong pemprosesan hiliran nilai tambah, penjanaan tenaga hijau dan penciptaan pekerjaan di zon pertumbuhan luar bandar, katanya.

“Kami juga memperluas program Johor Skills  ke daerah seperti Mersing, Segamat dan Kota Tinggi, menyesuaikan dengan peluang industri yang muncul di kawasan tersebut daripada pemprosesan tani hingga logistik dan tenaga boleh baharu,” katanya.

Beliau berkata aset tanah dan keupayaan perancangan JCorp membolehkannya menyeimbangkan pengembangan industri bandar dengan pembangunan yang saksama.

“Sama ada melalui strategi pengezonan, integrasi infrastruktur atau ketersambungan digital, kami melabur di luar JS-SEZ untuk memastikan peluang tidak dikekang dari segi geografi.

“Menerusi transformasi Johor, kami juga akan memanfaatkan kesan limpahan untuk seluruh negara, memacu daya tahan serantau, menarik pelaburan bernilai tinggi dan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2429295