SEPANG, 30 Mei (Bernama) -- Lebih 90 peratus jemaah haji Malaysia telah selamat tiba di Tanah Suci setakat ini menerusi 98 penerbangan yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Mohd Na’im berkata hari ini beliau akan menyertai 284 jemaah haji bersama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar untuk menunaikan rukun Islam kelima bagi musim haji 1446H/2025M.
“Kita ada baki dalam 2,000 (jemaah haji) sahaja. Maknanya, daripada 31,600 jemaah haji, hampir 30,000, telah berada di Tanah Suci,” katanya kepada pemberita sebelum berangkat ke Tanah Suci di sini hari ini.
Terdahulu, Mohd Na’im dan Shamsul Azri menyantuni jemaah haji Malaysia yang berlepas ke Tanah Suci petang ini menerusi penerbangan MH8192.
Bagi musim haji kali ini, kerajaan Arab Saudi meluluskan sebanyak 31,600 kuota haji untuk jemaah Malaysia.
Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci bermula 29 April lepas manakala penerbangan terakhir adalah pada 1 Jun ini, dengan hari wukuf iaitu 9 Zulhijjah jatuh pada Khamis, 5 Jun.
Berkongsi program semasa berada di Tanah Suci, beliau berkata pelbagai aktiviti telah disusun oleh Lembaga Tabung Haji (TH) termasuk melawat ibu pejabat TH di Makkah dan Madinah, menghadiri Simposium Haji Perdana kali ke-49 dan mengadakan pertemuan rasmi dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah.
“Ini adalah simposium yang diadakan setiap tahun semasa musim haji iaitu semua menteri haji akan bermesyuarat dan menyelesaikan apa sahaja isu berkaitan urusan haji,” katanya.
Beliau turut menitipkan pesanan kepada jemaah haji Malaysia agar sentiasa menjaga kesihatan ketika menunaikan rukun Islam kelima itu khususnya semasa berwukuf.
“Saya harap jemaah haji kita minum air sebanyak mungkin dan kekal berada di tempat penginapan sekiranya tiada keperluan untuk keluar kerana kita bimbang jemaah haji akan sakit kalau terlampau terdedah kepada cuaca panas,” katanya.
Menzahirkan penghargaan kepada petugas TH dan media, Mohd Na’im berkata mereka menjalankan tugas dengan baik serta melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan demi kelancaran proses ibadah haji musim ini.
“Tuan-tuan dan puan-puan telah memainkan peranan masing-masing. Pihak TH amat hargai sumbagan petugas media yang memainkan peranan untuk menyampaikan maklumat berkaitan khususnya perkembangan yang berlaku di Tanah Suci,” katanya.
-- BERNAMA