JENAYAH & MAHKAMAH

Tiga Ditahan Siasat Kes Dakwaan 'Abah Aspirasi' Dipukul

30/05/2025 07:05 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Polis menahan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan seorang pempengaruh dikenali 'abah aspirasi' dipukul, diludah dan diugut semasa dalam perjalanan ke Mahkamah Shah Alam bagi permohonan reman.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata pihaknya menerima enam rakaman video tular di media sosial pada 10.30 malam semalam, yang memaparkan kandungan dakwaan tersebut.

Beliau berkata, video tersebut menunjukkan dakwaan bahawa 'Abah Aspirasi' dipukul, diugut dan diludah oleh tiga orang kena tuduh (OKT) yang ditahan bersama dengannya dalam kes yang disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

“Kejadian didakwa berlaku di dalam lori polis semasa dalam perjalanan ke Mahkamah Shah Alam bagi permohonan reman. Susulan itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan dan tiga suspek ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Hafiz berkata kandungan video yang dikongsi di media sosial mempunyai asas dan siasatan sedang dijalankan, namun tiada sebarang unsur salah laku anggota polis dikesan dalam kejadian tersebut.

“PDRM (Polis Diraja Malaysia) tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba untuk menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan dan mencetuskan keresahan awam,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan spekulasi tanpa asas kerana ia boleh membawa implikasi serius dan tindakan tegas akan diambil jika didapati perlanggaran undang-undang.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2429292