AM

Zon Larangan Berhenti Di Lima Jalan Utama Di George Town Mulai 1 Jun

30/05/2025 07:33 PM

GEORGE TOWN, 30 Mei (Bernama) -- Lima jalan utama di bandar raya ini akan dijadikan zon larangan berhenti bermula 1 Jun bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas yang berpunca daripada kenderaan berhenti dan menunggu di tepi jalan.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerusi hantaran di Facebook hari ini memaklumkan langkah itu diambil susulan kapasiti lorong lalu lintas yang berkurangan akibat kenderaan yang berhenti sekali gus menyebabkan aliran trafik menjadi perlahan dan sesak.

“Sehubungan itu, MBPP telah melaksanakan zon larangan berhenti di sebahagian Jalan Jelutong dari Jalan Ahmad Nor ke Jalan Bukit Dumbar dan sebahagian Jalan Burma dari Jalan Cantonment ke Jalan Jones.

“Selain itu, jalan yang terlibat ialah sebahagian Jalan Macalister dari Jalan Anson ke Jalan Penang, sebahagian Pengkalan Weld dari Gat Lebuh Melayu ke Gat Lebuh Chulia dan sebahagian Jalan Masjid Kapitan Keling dari Lebuh Bishop ke Lebuh Chulia," menurut MBPP.

MBPP memaklumkan papan tanda larangan berhenti telah dipasang dan garisan berkembar berwarna kuning juga dicat di semua laluan terlibat bagi memberi amaran kepada pengguna jalan raya tentang larangan tersebut.

Pihak berkuasa tempatan itu juga akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pemilik kenderaan yang didapati menunggu atau meletakkan kenderaan di tepi jalan di kawasan larangan bagi memastikan kelancaran aliran trafik serta mengurangkan gangguan lalu lintas.

“Pemilik atau penyewa premis diingatkan supaya tidak meletakkan kenderaan di tepi jalan dan mereka diminta memaklumkan pelanggan supaya tidak menunggu atau meletakkan kenderaan di tepi jalan,” menurut MBPP.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2429308