SUKAN

Terbuka Singapura 2025: Aaron-Wooi Yik Mara Ke Separuh Akhir, Singkir Rakan Senegara

30/05/2025 07:03 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Singapura 2025 selepas menyingkirkan rakan senegara Man Wei Chong-Tee Kai Wun di Stadium Tertutup Singapura hari ini.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2020 di Tokyo dan Paris 2024 itu hanya memerlukan 33 minit untuk mencatat kemenangan straight set 22-20, 21-17 ke atas pasangan yang kini berada di ranking ketujuh dunia.

Aaron berkata set pertama agak mencabar kerana mereka menghadapi detik-detik cemas untuk menundukkan pasangan senegara itu.

“Saya rasa selepas set pertama, kami lebih tenang dan relaks berbanding pada awal permainan. Seperti yang anda lihat, mata sangat sengit pada set pertama, tiga kali kami memperoleh mata akhir. Nasib baik kami berjaya menamatkan set pertama dengan kemenangan,” katanya.

Aaron-Wooi Yik dijadualkan bertemu pasangan India Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty pada separuh akhir selepas pasangan itu menewaskan satu lagi beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nor Izzuddin Mohd Rumsani, 21-17, 21-15.

Terdahulu, beregu campuran profesional utama negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie tewas dalam perlawanan sengit selama 64 minit kepada pasangan Thailand Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran, 19-21, 22-20, 17-21.

Dalam acara perseorangan lelaki, Leong Jun Hao gagal melangkah ke separuh akhir selepas tewas kepada pilihan kedua dari Thailand Kunlavut Vitidsarn, 13-21, 11-21.

Dalam acara beregu wanita pula, Pearly Tan-M. Thinaah sekali lagi gagal menewaskan pasangan China Zhang Shu Xian dan Jia Yi Fan dalam perlawanan sengit yang berakhir 21-14, 22-24, 14-21.

Untuk rekod, Shu Xian-Yi Fan turut menewaskan Pearly-Thinaah di peringkat separuh akhir Masters Malaysia minggu lepas.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2429291