Oleh Kenny Teng Khoon Hock
BANGKOK, 30 Mei (Bernama) -- Malaysia komited untuk memperbaharui Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pertanian dengan Thailand, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata MoU Malaysia-Thailand yang telah dilaksanakan sejak lebih 50 tahun lalu itu perlu disemak secara menyeluruh serta ditambah baik dari segi kandungannya.
“MoU ini mencerminkan matlamat bersama untuk memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang pertanian mampan, pemindahan teknologi, penyelidikan dan keselamatan makanan.
“Kami telah mengemukakan draf terkini MoU tersebut kepada kementerian Thailand, dan berharap menerima maklum balas mereka dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama pada Jumaat.
Terdahulu, Mohamad yang mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan kerja empat hari ke Thailand, telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pertanian dan Koperasi Thailand, Narumon Pinyosinwat, sebelum kedua-dua pihak mengadakan mesyuarat dua hala.
Mohamad berkata Malaysia menyasarkan tahap sara diri yang lebih tinggi dalam pengeluaran pertanian menjelang 2030 menerusi pembangunan industri agromakanan yang mampan, berdaya tahan dan dipacu teknologi serta memberi keutamaan kepada keselamatan makanan.
“Perbincangan hari ini mengukuhkan lagi hubungan erat dan berpanjangan antara Malaysia dan Thailand dalam sektor pertanian.
“Saya berasa yakin dengan komitmen bersama untuk memperdalam kerjasama serta menangani cabaran bersama berkaitan keselamatan makanan, pertanian mampan dan inovasi,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Thailand merupakan rakan dagang utama Malaysia dalam sektor agromakanan dan produk pertanian terpilih.
“Perdagangan pertanian dua hala antara Malaysia dan Thailand terus menunjukkan prestasi positif pada 2024, dengan nilai perdagangan keseluruhan bagi produk pertanian mencecah RM20.96 bilion.
“Trend perdagangan ini mencerminkan potensi pertumbuhan perdagangan makanan dan produk pertanian yang semakin meningkat, serta peluang besar untuk kedua-dua negara meningkatkan lagi nilai perdagangan pertanian,” katanya.
Kemudian, Mohamad merasmikan Pavilion Malaysia di THAIFEX-Anuga Asia 2025, pameran perdagangan makanan dan minuman terkemuka Asia.
Seramai 137 syarikat Malaysia menyertai pameran perdagangan itu yang berlangsung di IMPACT Muang Thong Thani dari 27 hingga 31 Mei.
-- BERNAMA