IPOH, 21 Mei (Bernama) -- Enam lelaki ditahan kerana positif dadah dalam Op Bersepadu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Manjung di sekitar perairan Pangkor, semalam.
Pengarah Maritim Malaysia Perak Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata kesemua yang ditahan merupakan warga tempatan berumur lingkungan 20-an hingga 60-an selepas ujian saringan air kencing dijalankan di atas bot-bot nelayan di kawasan berkenaan.
"Operasi bagi membanteras aktiviti penagihan dadah dalam kalangan komuniti nelayan di sekitar perairan Pangkor ini melibatkan 21 pegawai dan anggota kedua-dua agensi.
"Mereka yang ditahan telah diserahkan kepada AADK untuk tindakan lanjut,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Shukri berkata Maritim Perak bersama agensi berkaitan akan terus memelihara keselamatan perairan negara serta memastikan pematuhan undang-undang dalam kalangan komuniti maritim.
-- BERNAMA