AM

KPDN Catat Rampasan Lebih RM700,000 Dari Januari Hingga Semalam

25/05/2025 12:27 PM

KUALA TERENGGANU, 25 Mei (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu merekodkan rampasan berjumlah RM725,439.86 membabitkan 338 kes atas pelbagai kesalahan bagi tempoh 1 Jan hingga semalam.

Pengarahnya Mohd Mufsi Lat berkata perkara itu hasil pemeriksaan ke atas 9,738 premis termasuk kedai runcit, pasar raya kecil, pasar raya besar dan premis borong seluruh negeri.

Beliau berkata dalam tempoh itu juga, sebanyak RM122,400 kompaun telah dikenakan dengan nilai denda sekitar RM60,000.

“Sepanjang tempoh tiga tahun kebelakangan ini, hasil tindakan penguatkuasaan menunjukkan perkembangan yang amat memberangsangkan.

“Pada 2024 nilai rampasan mencecah RM3.96 juta berbanding RM997,059.69 pada 2023 dan nilai denda juga melonjak daripada RM6,000 pada 2023 kepada RM102,500 pada 2024. Ini memberi petunjuk bahawa penguatkuasaan kini lebih tertumpu dan berjaya menumpaskan kes penyelewengan bernilai tinggi,” katanya pada Sambutan Hari Penguatkuasa KPDN Ke-53 Peringkat Negeri Terengganu di sini, hari ini.

Majlis dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Pencegahan) KPDN Aris Mamat.

Mohd Mufsi berkata selain itu KPDN juga telah melakukan pemeriksaan ke atas 293 buah premis dalam Ops Tiris dan 186 premis melibatkan Ops Gasak dalam tempoh 1 Jan hingga semalam.

“Bagi Ops Tiris kita telah berjaya menghasilkan empat kes dengan nilai rampasan sebanyak RM431,437.60, manakala Op Gasak, tujuh kes direkodkan dengan nilai rampasan sekitar RM68,065.70,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2426841