EKONOMI

Pavilion Bukit Jalil Raikan Ulang Tahun Ke-80 Mattel Dengan ‘All Play All Day’

30/05/2025 07:39 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Pavilion Bukit Jalil menjadikan cuti sekolah ini sebagai sebuah pengalaman yang tidak dapat dilupakan menerusi sambutan ulang tahun ke-80 Mattel.

Berlangsung hingga 8 Jun ini, acara itu mengubah pusat beli-belah berkenaan menjadi sebuah taman permainan interaktif yang dipenuhi jenama-jenama ikonik seperti Barbie, Hot Wheels, Thomas & Friends dan banyak lagi.

Pavilion Bukit Jalil dalam kenyataan hari ini memaklumkan orang ramai boleh menikmati zon permainan secara langsung, cabaran menarik, sudut foto nostalgia dan ganjaran eksklusif – menjadikannya hari yang menyeronokkan buat kanak-kanak dan orang dewasa. Sambutan ‘All Play All Day’ ini mengubah kunjungan biasa kepada pengembaraan keluarga yang tidak dapat dilupakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Peruncitan Kuala Lumpur Pavilion Sdn Bhd Datuk Joyce Yap berkata Pavilion Bukit Jalil komited menyediakan pengalaman yang dapat mengeratkan hubungan dan tiada yang dapat menghubungkan manusia dengan lebih baik daripada keseronokan bermain bersama.

“Ketika Mattel meraikan 80 tahun imaginasi luar biasa yang memberi inspirasi, kami berbangga untuk mengubah pusat beli-belah ini menjadi sebuah ruang yang meriah dengan keluarga dapat berkumpul, bergembira dan mencipta memori indah,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Selama 80 tahun, Mattel telah membentuk cara kanak-kanak bermain dan berimaginasi dengan mainan yang menjadi sebahagian daripada pengalaman membesar bagi pelbagai generasi di seluruh dunia - dan legasi ini diterjemahkan di Pavilion Bukit Jalil dengan keluarga dijemput menyelami dunia yang dibina berasaskan kegembiraan dan nostalgia ‘All Play All Day’ - acara sambutan Ulang Tahun ke-80 Mattel.

Acara ini berlangsung setiap hari dari 10 pagi hingga 10 malam dengan kemasukan adalah percuma dan menawarkan pelbagai zon bertema untuk diterokai seisi keluarga.

Menurut kenyataan itu di Zon Barbie, pengunjung boleh merasai pengalaman reruai foto 360 darjah dan bersantai di kolam buih merah jambu bersebelahan kereta ikonik Barbie, manakala Zon Hot Wheels menampilkan kereta die-cast yang meluncur melalui gelung berapi serta trek mencabar, termasuk T-Rex Smasher yang menguji kelajuan dan ketepatan.

Di Zon Thomas & Friends, kanak-kanak boleh memadankan watak enjin kegemaran mereka sebelum menaiki kereta api Thomas sebenar yang mengelilingi pusat beli-belah. Zon Mattel All Games pula menawarkan pengalaman santai dengan permainan bersaiz besar seperti Scrabble, UNO dan Pictionary untuk dimainkan bersama keluarga.

Kenyataan itu memaklumkan acara berkenaan turut menampilkan cabaran hujung minggu seperti pertandingan Hot Wheels Crash Out dan Fisher-Price Shape Sorter.

“Kanak-kanak boleh mengumpul cop setem dalam pasport aktiviti khas dengan melengkapkan lima misi sepanjang acara dan menebus peluang memutar mesin kapsul mainan untuk memenangi barangan Mattel.

“Mereka yang membelanjakan RM60 atau lebih untuk produk Mattel akan menerima barangan eksklusif ulang tahun ke-80 termasuk balang berpenebat edisi terhad dan pelekat koleksi khas. Selain itu, mereka yang membelanjakan sekurang-kurangnya RM150 dalam satu resit di mana-mana kedai di pusat beli-belah itu boleh menebus ganjaran istimewa, iaitu Barbie Surprise Lollipop atau Hot Wheels Blind Box, selagi stok masih ada,” menurut kenyataan itu.

Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti dan promosi di Pavilion Bukit Jalil, orang ramai boleh mendapatkan kemas kini terkini di Facebook, Instagram atau menghubungi khidmat pelanggan di talian 03-8092 8833.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2429313