JENAYAH & MAHKAMAH

Lebih 600 Pendatang Asing Ditahan Di Terengganu Sejak Januari

28/05/2025 10:40 PM

KUALA TERENGGANU, 28 Mei (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) Terengganu menahan 603 pendatang tanpa izin atas pelbagai kesalahan menerusi 260 operasi di negeri ini dari 1 Jan lepas hingga hari ini.

Pengarah JIM Terengganu Mohd Yusri Mohd Nor berkata sebahagian besar mereka terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia dan Myanmar. 

“Selain itu, bagi tempoh sama, sebanyak 24 majikan telah diambil tindakan seperti kompaun, denda dan dihadapkan ke mahkamah kerana melindungi serta menggaji pendatang tanpa izin,” katanya.

Mohd Yusri berkata demikian kepada pemberita selepas operasi Repatriasi Migran 2.0 (PRM 2.0) di sini dan Kuala Nerus hari ini.

Pada tahun ini, beliau berkata JIM Terengganu akan menumpukan kepada penguatkuasaan terhadap majikan sempena pelanjutan PRM 2.0 hingga 30 April depan.

Tindakan itu bagi memastikan majikan menggaji warga asing memiliki semua dokumen berkaitan yang sah agar tidak berdepan tindakan undang-undang.

Beliau berkata pada tahun lepas sebanyak 26 majikan dikompaun berjumlah RM270,00 kerana melanggar undang-undang.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2428610