JENAYAH & MAHKAMAH

KPDN Selangor Tahan Lima Lelaki Seleweng Kemudahan Fleet Card

29/05/2025 12:37 PM

SHAH ALAM, 29 Mei (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menahan lima lelaki warga tempatan disyaki terlibat dalam aktiviti penyelewengan minyak diesel diperoleh melalui kemudahan fleet card bersubsidi di sini, semalam.

Pengarah KPDN Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey berkata suspek berusia antara 30 hingga 45 tahun itu, ditahan menerusi serbuan di sebuah premis tidak bernombor dipercayai dijadikan stor haram bagi menjalankan aktiviti itu di kawasan Sri Muda, Seksyen 25, di sini.

Beliau berkata serbuan melibatkan 25 anggota KPDN dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor sekitar 7 malam itu, dilakukan selepas menjalankan risikan selama sebulan.

“Semasa serbuan, kami menemukan sebuah lori tangki 30 tan, empat lori kanvas dan dua lori bonded masing-masing berisi tangki intermediate bulk container (IBC), sebuah van dan sebuah kepala lori yang tangkinya telah diubah suai.

“Lori tangki itu juga mempunyai hos sambungan dengan lori bonded yang telah diubah suai dengan tangki IBC berisi diesel dan dipercayai bertujuan memindahkan bekalan,” katanya kepada pemberita sejurus operasi berakhir lewat malam tadi.

Mohd Zuhairi berkata pihaknya turut menemukan minyak disyaki cecair diesel dengan anggaran melebihi 7,000 liter di dalam 14 unit tangki IBC berkapasiti 1,000 liter dan beberapa peralatan lain seperti pam bermotor serta hos penyambung yang disyaki digunakan untuk menyedut atau mengisi minyak diesel secara tidak sah.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesen sah menyimpan barang kawalan diesel, manakala suspek yang juga pemandu lori yang ditahan juga tidak mempunyai dokumen sah untuk memiliki barang kawalan diesel.

“Modus operandi aktiviti ini ialah pemandu lori bonded yang ditahan memiliki fleet card untuk kemudahan membeli bahan api diesel pada harga subsidi dan disyaki membuat pembelian atau transaksi di stesen minyak sekitar Shah Alam.

“Hasil pembelian minyak diesel menggunakan fleet card pada harga subsidi itu, kemudiannya dibawa ke premis yang diserbu untuk proses pemindahan daripada tangki IBC ke dalam lori tangki, sebelum diteruskan dengan urus niaga ke pasaran gelap,” katanya.

Mohd Zuhairi berkata semua kenderaan termasuk peralatan yang ditemukan telah disita, manakala kelima-lima suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan siasatan akan menumpukan kepada mengenal pasti individu, syarikat serta rantaian pengedaran bekalan minyak diesel bersubsidi termasuk sumber bekalan diperoleh dan diedarkan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2428719