SEREMBAN, 6 Okt (Bernama) -- Pakar Runding Pemakanan sebuah syarikat konsultasi, Dr Tee E Siong dinobatkan sebagai Tokoh Warga Emas sempena sambutan Hari Warga Emas Peringkat Kebangsaan 2025 di sini malam tadi.
Tee, 78, yang pernah memegang jawatan sebagai pegawai pemakanan di Institut Penyelidikan Perubatan, Kementerian Kesihatan (KKM), menerima anugerah tersebut atas penglibatan berterusan dalam kerja kebajikan dan sumbangan cemerlang di peringkat komuniti, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Beliau bergiat aktif termasuk dalam Persatuan Pemakanan Malaysia, Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu dan Persatuan Kesedaran Kesihatan Warga Emas Malaysia sekali gus mencerminkan komitmen tinggi dalam bidang pemakanan sama ada di peringkat dasar, komuniti dan kesedaran awam secara sukarela.
Anak jati Seremban itu turut mengetuai pelbagai program untuk wanita, kanak-kanak dan masyarakat termasuk Program Penuaan Sihat Positif yang dilancarkan pada 2022 bertujuan berkongsi pengetahuan tentang gaya hidup sihat supaya terus dapat menyumbang kepada keluarga dan negara.
Anugerah Tokoh Warga Emas itu disampaikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri yang turut merasmikan penutupan sambutan tersebut. Turut hadir, Timbalannya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Dr Maziah Che Yusoff dan Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Datuk Che Murad Sayang Ramjan.
Tee yang ditemui pemberita selepas majlisitu menzahirkan kesyukuran atas pengiktirafan tersebut dan berharap ia menjadi inspirasi kepada warga emas lain untuk terus aktif serta memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara.
“Dalam apa juga bidang termasuk kesihatan, warga emas perlu terus menyumbang kepada masyarakat dan negara. Walaupun sudah berusia kita masih boleh berperanan, jangan hanya duduk diam di rumah. Menjaga kesihatan juga penting agar kita kekal aktif walaupun sudah tua,” katanya.
Terdahulu, Nancy dalam ucapannya berkata tema Hari Warga Emas tahun ini iaitu “Warga Emas, Wajah Masa Depan Kita” adalah untuk mengingatkan bahawa warga emas bukan sahaja dikenang kerana sumbangan masa lepas tetapi juga dihormati kerana peranan mereka hari ini dan inspirasi untuk generasi akan datang.
Beliau berkata sambutan Hari Warga Emas itu juga membawa mesej jelas bahawa golongan berkenaan adalah wajah masa depan semua, justeru berharap budaya menghormati yang tua dan menyayangi golongan muda terus dijadikan pegangan.
Dalam majlis anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat itu, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Elopura, Sandakan, Sabah menerima Anugerah PAWE Cemerlang atas penglibatan aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan, kesukarelawanan serta usaha berterusan memperkasa kesejahteraan warga emas membabitkan pelbagai bangsa atau etnik.
Selain itu, tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Subang Jaya, Selangor; Majlis Perbandaran Kulim, Kedah dan Majlis Daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan menerima sijil penghargaan Prihatin Warga Emas kategori PBT.
Bagi kategori badan berkanun dan korporat pula, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Mydin Mohamed Holdings Berhad serta 99 Speedmart Sdn Bhd menerima sijil penghargaan atas komitmen melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk melalui program tanggungjawab sosial korporat.
Sempena sambutan Hari Warga Emas tahun ini, turut diadakan Karnival Warga Emas selama dua hari hingga semalam di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sembilan dengan penyertaan lebih 3,000 peserta termasuk ahli PAWE seluruh negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial