EKONOMI

TNB Menang Anugerah "The Edge Billion Ringgit Club Awards 2025"

01/10/2025 08:53 PM

Oleh Mikhail Raj Abdullah

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd telah memenangi Anugerah “The Edge Billion Ringgit Club Awards 2025" (Anugerah BRC) yang berprestij kerana mempunyai pulangan pemegang saham tertinggi dalam tempoh tiga tahun dalam Super Big Cap atau kategori permodalan pasaran melebihi RM40 bilion.

Pencapaian dan pulangan ketaranya kepada pemegang saham telah diiktiraf pada edisi ke-16 anugerah itu, menurut laporan media hari ini.

Dasar nisbah pembayaran dividen 30-60 peratus adalah sebahagian daripada strategi TNB untuk disalurkan semula kepada rakyat menerusi institusi kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Bhd (PNB), Khazanah Nasional Bhd dan kumpulan wang pencen Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

Tahun lepas, KWSP mengagihkan sebanyak 6.3 peratus dividen dan TNB merupakan salah satu penyumbang utama kepada jumlah pembayaran dividennya.

TNB membayar hampir RM3 bilion dividen tahun lepas.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan anugerah berkenaan.

Ia menggariskan penciptaan nilai mampan TNB untuk para pemegang saham dan pihak berkepentingan, menambah daya tarikannya dalam kalangan pelabur.

Anugerah BRC yang kini memasuki tahun ke-16, menilai ahli berdasarkan pertumbuhan keuntungan, pulangan ke atas ekuiti dan jumlah pulangan pemegang saham dalam tempoh tiga tahun.

Keputusan tersebut telah diaudit secara bebas oleh Deloitte Malaysia, rangka kerja yang direka untuk menunjukkan prestasi jangka panjang yang konsisten.

Majlis anugerah itu menghimpunkan tokok korporat terkemuka dari pelbagai sektor.

Pengiktirafan dalam Super Big Cap meletakkan TNB antara syarikat terbesar dan menjadi tumpuan utama di Malaysia.

Ia juga membuktikan kualiti pendapatan berdaya tahan, peruntukan modal berdisiplin dan prestasi dividen dan harga saham yang mengatasi syarikat lain sepanjang penilaian yang dilakukan selama tiga tahun.

Metodologi BRC tertumpu kepada metrik untuk beberapa tahun membantu mencegah keadaan turun naik dalam tempoh jangka pendek dan menekankan penciptaan nilai yang tahan lama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan