KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Projek Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) di Pulau Mabul, Semporna wajar disiapkan dalam mempertingkatkan tahap pengoperasian dan keberkesanan kawalan keselamatan perairan Timur Sabah dan persekitarannya.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 berhubung Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2024 yang dibentangkan di Dewan Rakyat di sini hari ini, projek FOB itu masih belum disiapkan walaupun telah hampir 10 tahun sejak mula dirancang.
Projek tersebut dicadangkan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sejak 2016 dan diluluskan di bawah Rolling Plan Kedua Rancangan Malaysia Ke-11 (2016–2020) dengan siling peruntukan sebanyak RM52.81 juta. Ia sepatutnya disiapkan pada 16 Nov 2024.
FOB Pulau Mabul bertujuan mempertingkatkan keberkesanan kawalan keselamatan melalui pendekatan pengawasan, pemantauan, kawalan kepolisan, dan penguatkuasaan (enforcement) di sepanjang 1,733.3 kilometer (KM) pantai dan perairan Timur Sabah yang meliputi keluasan 134,761.54KM.
LKAN berpendapat bahawa projek itu wajar disiapkan bagi memastikan infrastruktur dan kemudahan keselamatan berteknologi tinggi dapat disediakan, sekali gus meningkatkan tahap kawalan keselamatan di kawasan berkenaan.
“Antara isu utama dikenal pasti termasuk bangunan masih belum siap, pembinaan jeti belum dimulakan, serta penamatan kontrak terhadap Syarikat 762935-D disebabkan prestasi kerja tidak memuaskan. Pihak Audit mengambil maklum status Notice of Change (NOC) yang diluluskan pada 9 Mei lalu,” menurut laporan itu.
Perincian LKAN turut menyatakan bahawa syarikat yang dianugerahkan tender tersebut pada Ogos 2020 itu, telah mengemukakan surat penarikan diri pada 1 Ogos 2023.
Beberapa alasan dikemukakan, termasuk peningkatan kos pembinaan akibat pandemik COVID-19, ketidaksesuaian lokasi asal landing point, kelewatan proses kelulusan Temporary Occupation License (TOL), serta kelewatan pelantikan Nominated Subcontractor bagi kerja-kerja elektrikal dan mekanikal.
Jabatan Kerja Raya (JKR) kemudian mengeluarkan Notis Penamatan Kontrak kepada syarikat berkenaan pada 6 Sept 2023, dengan status kemajuan projek ketika itu hanya 41 peratus berbanding jadual kerja sebanyak 53 peratus.
Namun, LKAN menyatakan bahawa syarikat terbabit tidak mempunyai asas kukuh untuk menarik diri dan alasan penarikan diri tersebut adalah tidak selaras dengan syarat-syarat Kontrak JKR 203A.
Kegagalan syarikat menyiapkan projek dalam tempoh ditetapkan menyebabkan peningkatan kos sebanyak RM28.70 juta menjadikan jumlah keseluruhan kos kepada RM81.51 juta serta penangguhan kepada Projek Pembangunan Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) Sabah Fasa 2.
“Selain itu, proses pengukuran dan pewartaan tanah laut juga didapati mengambil masa terlalu lama, iaitu selama tujuh tahun, lima bulan dan 17 hari (2,725 hari) bermula dari tarikh permohonan tanah kerajaan di bawah Seksyen 12, Ordinan Tanah Sabah Bab 68 pada 5 Jan 2016 hingga tarikh pewartaan siap pada 22 Jun 2023.
“Perkara ini disebabkan oleh kelemahan koordinasi antara JTU Sabah dan ESSCOM, khususnya apabila Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah lewat memaklumkan mengenai kekurangan pasukan ukur bagi melaksanakan kerja pengukuran,” menurut laporan itu
Justeru, LKAN mengemukakan enam syor, iaitu melantik kontraktor penyiap dengan segera untuk elak kelewatan tambahan, risiko kerosakan struktur serta peningkatan kos; pihak kementerian dan agensi terlibat melaksanakan pengurusan dan pemantauan kontraktor dengan lebih kerap; manakala kontraktor baharu perlu menyediakan pelan pemulihan jika berlaku kelewatan.
Kerajaan pula perlu menuntut pampasan daripada syarikat mengikut klausa kontrak sedia ada; memastikan semua kelulusan seperti pewartaan tanah diselesaikan sebelum kerja dimulakan; serta meningkatkan koordinasi antara Kementerian Dalam Negeri, ESSCOM, JKR dan JTU Sabah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial