JOHOR BAHRU, 2 Okt (Bernama) -- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meraih dua anugerah berprestij pada pertandingan antarabangsa Introducing and Demonstrating Earthquake Engineering Research (IDEERS) 2025 yang berlangsung di National Center for Research on Earthquake Engineering (NCREE), Tainan, Taiwan.
UTM dalam satu kenyataan memaklumkan, pasukan terdiri daripada pelajar Anushri Batumanathan, Nur Farzana Mamat Solleh dan Soon Chen Wei bersama pensyarah Dr Muhammad Farhan Mohd Fisol, berjaya menewaskan peserta daripada lebih 50 universiti antarabangsa.
Reka bentuk tahan gempa bumi ciptaan mereka, melayakkan pasukan itu menerima anugerah Best Design Concept Exhibition dan the Structural Design and Innovation, dua kategori paling berprestij dalam pertandingan tersebut.
“Kami merupakan satu-satunya pasukan yang bertanding dengan hanya tiga ahli, berbanding empat ahli yang diperlukan akibat keadaan tidak dapat dielakkan pada saat akhir. Namun, pasukan tetap berjaya menyiapkan reka bentuk dalam tempoh masa yang ditetapkan dan membawa pulang dua anugerah berprestij.
“Selain itu, kejayaan ini turut disokong kepakaran dan fasiliti Fakulti Kejuruteraan Awam, dengan kerjasama Kumpulan Penyelidikan Seismologi Kejuruteraan dan Kejuruteraan Gempa Bumi (eSEER) yang pakar dalam kajian berkaitan gempa bumi,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan UTM, persiapan serta pembangunan model pasukan tersebut dijalankan di bawah bimbingan dan sumber eSEER, bagi memastikan reka bentuk memenuhi piawaian antarabangsa sebelum menyertai pertandingan di Taiwan.
Pengiktirafan itu sekali gus meletakkan UTM antara institusi paling cemerlang dalam bidang kejuruteraan gempa bumi, menandakan satu lagi pencapaian antarabangsa universiti berkenaan.
Sementara itu, Dr Muhammad Farhan selaku mentor pasukan menegaskan kejayaan itu bukan sahaja terhad kepada anugerah, malah turut meningkatkan reputasi UTM pada peringkat global, serta membuka ruang lebih luas untuk jaringan akademik bersama universiti luar negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial