KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Kementerian Pertahanan mendapati sebanyak 82.5 peratus pelatih berpuas hati dengan pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 setakat ini.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata penilaian itu melibatkan 560 pelatih daripada Siri 1 dan Siri 2 tahun ini.
“Kementerian Pertahanan turut mengambil maklum cadangan membina daripada pelatih antaranya ialah modul ketenteraan ini diperkasa kerana pelatih mahu modul itu dapat dilaksanakan berulang kali. Dia tak nak laksanakan sekali, ini adalah permintaan daripada mereka,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) yang ingin tahu sama ada kerajaan telah menjalankan sebarang kajian pascanilai terhadap pelaksanaan modul PLKN setakat ini serta sejauh mana elemen perpaduan, nilai dan persefahaman antara pelbagai komuniti dimasukkan dalam modul asas kenegaraan yang meliputi 30 peratus daripada komponen PLKN.
Adly turut memaklumkan penilaian luaran sedang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) bagi mengukur aspek objektif seperti patriotisme dan perpaduan, dengan laporan penuh dijangka dibentangkan pada suku kedua tahun depan.
Berhubung penerapan elemen perpaduan dalam modul kenegaraan, Adly berkata modul asas kenegaraan yang membentuk 30 peratus daripada komponen PLKN dirangka bagi memupuk semangat patriotisme, jati diri serta sikap toleransi antara pelbagai komuniti.
“Modul asas kenegaraan yang merupakan nadi utama kepada PLKN 3.0 ini dibangunkan untuk menyemarakkan semangat patriotisme, memperkasakan jati diri serta memupuk sikap toleransi dan kebersamaan dalam kalangan pelatih kita,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) mengenai kesinambungan program, Adly berkata peserta PLKN akan dipantau hingga ke alam pekerjaan bagi memastikan impak jangka panjang terhadap pembentukan jati diri dan penyebaran nilai kenegaraan dalam masyarakat.
“Ia tidak terhad seperti mana yang terdahulu, ia berakhir dengan PLKN, tetapi kita fikir bahawa mereka harus dipantau hingga ke dunia pekerjaan mereka,” katanya yang menambah penglibatan peserta PLKN dalam badan beruniform seperti askar wataniah juga menjadi sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan memastikan semangat patriotisme terus disemai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial