KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi lebih tinggi sedikit, menjejaki pengukuhan pasaran serantau dengan pembelian berterusan pada saham wajaran tinggi terpilih yang menyokong sentimen pasaran.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.41 mata, atau 0.09 peratus, kepada 1,636.47 daripada 1,635.06 ketika ditutup Jumaat lalu.
Indeks petunjuk pasaran dibuka 1.08 mata lebih tinggi kepada 1,636.14 dan bergerak di antara 1,629.93 dan 1,637.70 sepanjang sesi dagangan.
Bagaimanapun, sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu 659 berbanding 328, manakala 456 kaunter tidak berubah, 1,121 tidak diniagakan dan tujuh lagi digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 2.35 bilion unit yang bernilai RM1.26 bilion.
Hong Leong Investment Bank Bhd berkata pasaran Asia diniagakan lebih tinggi selepas kenaikan pasaran diterajui oleh sektor teknologi di Wall Street semalam, mengenepikan penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS) di tengah-tengah harapan pemotongan kadar faedah yang berterusan.
Dalam satu nota penyelidikannya hari ini, bank pelaburan itu berkata indeks Nikkei 225 Jepun melonjak 1.85 peratus, dipacu oleh minat terhadap kecerdasan buatan (AI) susulan kerjasama Hitachi–OpenAI dan isyarat Bank of Japan yang cenderung menurunkan kadar faedah apabila Gabenor Kazuo Ueda memberi petanda untuk berhati-hati terhadap kenaikan kadar.
“Sentimen turut meningkat berikutan optimisme terhadap rundingan perdagangan AS–China, dengan Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent menyebut potensi kejayaan dan spekulasi mengenai pertemuan Presiden Donald Trump dengan Presiden China Xi Jinping di Korea Selatan,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat dua sen kepada RM10.02, Tenaga Nasional naik 12 sen kepada RM13.40 dan IHH Healthcare menokok 18 sen kepada RM8.31, manakala Public Bank kekal pada RM4.34 dan CIMB merosot dua sen kepada RM7.66.
Bagi saham aktif, NexG bertambah setengah sen kepada 52.5 sen, KNM merosot 2.5 sen kepada setengah sen dan V.S Industry turun 1.5 sen kepada 55.5 sen, manakala Tanco dan Borneo Oil masing-masing kekal pada 89 sen dan setengah sen.
Antara saham untung ialah Petronas Gas yang melonjak 24 sen kepada RM18.82; Hong Leong Industries dan Chin Teck Plantations masing-masing naik 16 sen kepada RM14.36 dan RM10.16; P.I.E Industrial meningkat 13 sen kepada RM3.39, manakala Eupe Corporation menokok 12 sen kepada RM1.08.
Saham yang mencatat kerugian pula ialah Petronas Dagangan yang jatuh 28 sen kepada RM23.10; Malaysian Pacific Industries turun 26 sen kepada RM30.96; Ajinomoto merosot 16 sen kepada RM13.64; Fraser and Neave turun 12 sen kepada RM27.68, manakala Bursa Malaysia merosot 10 sen kepada RM8.11.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 7.92 mata kepada 12,173.75 dan Indeks FBM 100 turun 6.26 mata kepada 11,902.70, manakala Indeks FBM Emas Shariah meningkat 2.63 mata kepada 12,196.36.
Indeks FBM 70 susut 80.76 mata kepada 17,009.44 dan Indeks FBM ACE turun 22.81 mata kepada 5,324.31.
Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 1.0 mata kepada 173.35 dan Indeks Tenaga turun 3.21 mata kepada 784.45, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 7.54 mata kepada 18,609.94 dan Indeks Perladangan naik 24.19 mata kepada 7,820.83.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial