AM

Malaysia Terima Anugerah Kepimpinan Statistik OIC

03/10/2025 06:32 PM

PUTRAJAYA, 3 Okt (Bernama) -- Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menerima pengiktirafan dan anugerah khas atas kepimpinan cemerlang serta sumbangan besar beliau dalam memperkukuh pembangunan dan kerjasama statistik negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan pengiktirafan itu disampaikan pada sesi Suruhanjaya Statistik Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC-StatCom) yang berlangsung di Ankara, Turkiye dari 1 hingga 3 Okt.

Menurut kenyataan DOSM, Malaysia mempunyai rekod kepimpinan penting apabila Mohd Uzir mempengerusikan OIC-StatCom sesi ketujuh dan kelapan pada 2018–2019, selain dilantik Naib Pengerusi pada sesi ke-12 pada 2023.

“Rekod itu mencerminkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap kepimpinan statistik Malaysia,” menurut kenyataan itu.

DOSM memaklumkan pencapaian cemerlang dengan meraih kedudukan teratas dunia dalam Open Data Inventory (ODIN) 2024/25 oleh Open Data Watch (ODW), telah mengukuhkan Malaysia sebagai penanda aras bagi negara anggota OIC.

Menurut kenyataan itu, Malaysia dan Pusat Penyelidikan dan Latihan Statistik, Ekonomi dan Sosial untuk Negara-negara Islam (SESRIC) turut memperbaharui memorandum persefahaman (MoU) yang kali pertama  dimeterai pada 2020 di New York semasa sesi Suruhanjaya Statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-51.

Pembaharuan itu menegaskan semula perkongsian kukuh dalam pembangunan kapasiti melalui Program StatCaB, dengan Malaysia bukan sahaja menyumbang secara meluas malah turut mendapat manfaat daripada pertukaran serantau.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata perhimpunan berkenaan membuktikan kekuatan visi bersama negara anggota OIC serta kepentingan kerjasama, perpaduan dan pembinaan kapasiti bagi memenuhi permintaan global terhadap data boleh dipercayai, bertepatan masa dan setanding (dengan organisasi antarabangsa).

Beliau berkata pembaharuan MoU itu mencerminkan komitmen berterusan untuk memperkukuh kerjasama dan memastikan tiada negara anggota ketinggalan dalam era transformasi pesat.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan