JENAYAH & MAHKAMAH

KPDN Tahan Lelaki Seleweng Petrol Bersubsidi Di Sebuah Stesen Minyak Kota Bharu

28/05/2025 02:47 PM

KOTA BHARU, 28 Mei (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menahan seorang lelaki tempatan kerana disyaki terlibat kegiatan penyelewengan dan penyeludupan petrol bersubsidi, di sebuah stesen minyak di Jalan Sultanah Zainab di sini semalam.

Pengarah KPDN negeri Azman Ismail berkata suspek berusia 36 tahun itu ditahan pada 12.55 tengah hari.

Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas sebuah Proton Wira, mendapati kenderaan itu telah diubah suai dengan tangki tambahan, dipercayai digunakan untuk tujuan menyeludup petrol bersubdisi ke negara jiran.

“Kenderaan itu dan kira-kira 150 liter petrol, beberapa invois pembelian petrol bertarikh 27 Mei serta dokumen berkaitan pemilikan dan pergerakan barang kawalan turut dirampas.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan tindakan turut diambil terhadap pemilik stesen minyak terlibat bagi menentukan sama ada dia bersubahat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2428363