JENAYAH & MAHKAMAH

APMM Kelantan Tahan Kapal Tangki Thailand Di Perairan Tok Bali

22/05/2025 09:56 PM

KOTA BHARU, 22 Mei (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan sebuah kapal tangki asing milik Thailand yang dikesan berada dalam keadaan mencurigakan kira-kira 100 batu nautika dari muara Tok Bali, pada Selasa lepas.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata penahanan dibuat oleh aset penguat kuasa APMM yang sedang menjalankan rondaan di sempadan perairan Malaysia-Vietnam menerusi Op Damai, Op Naga Barat dan Op Tiris

Beliau berkata vesel tersebut dikesan sekitar 1 tengah hari dan berjaya ditahan kira-kira 20 minit kemudian.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati kapal itu dikendalikan enam kru termasuk seorang tekong, dan kesemua mereka disyaki warga Thailand berusia antara 38 hingga 70 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Erwan Shah berkata dokumen insurans dan yang berkaitan kapal itu didapati meragukan namun  kesemua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah semasa pemeriksaan dijalankan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

“APMM memandang serius sebarang pelanggaran undang-undang maritim yang boleh menjejaskan keselamatan dan kedaulatan perairan negara.

“Usaha penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan undang-undang dipatuhi oleh semua pihak yang beroperasi di perairan negara,” katanya.

Erwan Shah turut menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau insiden di laut menyalurkannya menerusi talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kelantan di talian 09-778 0070.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2425884