KANGAR, 24 Mei (Bernama) -- Program Pusat Komuniti Desa (PKD) Mobile yang diperkenal oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pada 2023 merupakan pendekatan holistik dalam menyantuni serta memperkasa masyarakat luar bandar melalui penyediaan pelbagai perkhidmatan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata program itu, yang diperluas daripada 191 PKD sedia ada di seluruh negara, memberi tumpuan kepada kawasan sukar dicapai dengan menyediakan peluang keusahawanan, latihan kemahiran, pendedahan teknologi dan akses perlindungan sosial.
“PKD Mobile bukan sekadar tempat singgah tetapi menjadi pusat sehenti yang membawa bersama pelbagai agensi kerajaan dan swasta untuk memberi latihan, servis, pameran produk tempatan serta nilai tambah kepada komuniti.
“Sebagai contoh, kita beri latihan pemasaran secara dalam talian kepada usahawan wanita menggunakan TikTok, memperkenal sistem perlindungan sosial mampu milik dan program keusahawanan seperti ternakan ayam, tanaman getah dan padi melalui agensi seperti FELCRA dan RISDA,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program PKD Mobile Kuala Perlis di Kampung Tengah dekat sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Luar Bandar Perlis Abu Bakar Hamzah.
Program PKD Mobile Kuala Perlis itu berlangsung hari ini dan esok.
Rubiah berkata pendekatan yang digunakan juga membolehkan lebih banyak program pembangunan modal insan disampaikan secara terus kepada kumpulan sasar termasuk belia yang tercicir pendidikan.
“Kita kenal pasti anak muda yang belum ada hala tuju dan salurkan mereka ke pusat latihan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) seperti GiatMARA, Kolej Kemahiran serta U-Camp RISDA... ini peluang untuk mereka keluar daripada kepompong kesusahan dan bina kemahiran,” katanya.
Menurut kenyataan KKDW sempena majlis perasmian program itu hari ini, PKD adalah antara inisiatif kementerian berkenaan bagi membantu meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan masyarakat luar bandar.
Kenyataan itu memaklumkan bagaimanapun, kekuatan 191 PKD di seluruh negara masih tidak mampu menyantuni semua komuniti desa.
Sehubungan itu, KKDW terus memperkasa usaha mendekati masyarakat luar bandar melalui penganjuran PKD Mobile bagi memastikan capaian perkhidmatan kerajaan lebih menyeluruh kepada komuniti di kawasan yang sukar diakses.
-- BERNAMA