KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Malaysia dijanjikan kejuaraan beregu lelaki Kejohanan Badminton Masters Malaysia selepas 12 tahun apabila Aaron Chia-Soh Wooi Yik menempah tiket dalam pusingan akhir bagi menentang satu lagi pasangan negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun esok.
Mendapat suntikan semangat daripada persembahan Wei Chong-Kai Wu sebelum itu, beregu pilihan keempat tersebut tidak mengecewakan penyokong negara di Axiata Arena, Bukit Jalil apabila mengejutkan pilihan utama dan juara bertahan dari Denmark Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dalam 64 minit.
Ketinggalan 9-11 pada set pertama, Aaron Chia-Wooi Yik tidak bermula baik namun kembali menemui rentak dan mengejar 15-14 sebelum menutup set 21-19.
Beregu nombor 3 dunia itu bagaimanapun sedikit goyah di set kedua dan tewas kepada gandingan ranking teratas dunia tersebut 17-21.
Dalam set penentu, juara dunia 2022 itu tampil menguasai selepas mendahului 9-1 dan terus menuju final sulung Masters Malaysia dengan kemenangan 21-15 dibantu pukulan kencang dari hadapan gelanggang oleh Wooi Yik.
-- BERNAMA