DUNIA

Lawatan PM Vietnam Ke Malaysia Perkukuh Hubungan Dua Hala, Solidariti ASEAN – Duta

24/05/2025 08:41 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama-VNA) -- Lawatan rasmi Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh ke Malaysia dari 24 hingga 28 Mei dijangka mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan solidariti dalam ASEAN, kata Duta Vietnam ke Malaysia, Dinh Ngoc Linh.

Beliau berkata lawatan itu selaras dengan dasar luar Vietnam yang mengutamakan hubungan kejiranan mesra serta menjalin perkongsian strategik komprehensif  dengan Malaysia.

Bercakap kepada Agensi Berita Vietnam (VNA) di Kuala Lumpur, Linh berkata lawatan itu berlangsung ketika hubungan kedua-dua negara berkembang pesat dalam pelbagai bidang termasuk politik, diplomasi, pertahanan dan keselamatan, ekonomi, pelancongan, budaya serta pertukaran sesama rakyat.

Beliau berkata pemimpin kedua-dua negara sentiasa mengekalkan hubungan rapat menerusi panggilan telefon, lawatan rasmi serta pertemuan di forum serantau dan antarabangsa utama.

Semasa lawatan ini, Chinh dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta beberapa pemimpin kanan negara lain.

Pemimpin-pemimpin berkenaan dijangka berkongsi pandangan mengenai pembangunan negara masing-masing dan membincangkan hala tuju strategik untuk meningkatkan lagi kerjasama dua hala.

Bidang tumpuan termasuklah kepercayaan politik, pertahanan dan keselamatan, perdagangan, pelaburan, tenaga kerja, pelancongan dan pertukaran rakyat.

Beberapa sektor baharu pesat  yang bakal diteroka bersama termasuk ekonomi hijau, ekonomi digital, kecerdasan buatan, inovasi serta sains dan teknologi.

Mengenai isu serantau dan global, kedua-dua pihak dijangka mencapai persefahaman bersama untuk memperkukuh koordinasi di platform antarabangsa, termasuk usaha bersama memperkukuh perpaduan ASEAN dan mempertahankan pemusatan blok serantau itu.

Linh berkata Kedutaan Vietnam menganggap lawatan ini dan penyertaan Chinh dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 sebagai keutamaan politik tertinggi Vietnam bagi tahun 2025.

Kedutaan turut bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan bagi memastikan kelancaran dan persiapan rapi lawatan itu.

Beliau berharap lawatan ini akan membawa kepada pelaksanaan pelan tindakan bagi merealisasikan perkongsian strategik serta memajukan perjanjian kerjasama utama.

Lawatan itu juga dilihat sebagai peluang untuk memanfaatkan mekanisme sedia ada seperti Suruhanjaya Bersama dan Jawatankuasa Perdagangan Bersama Malaysia-Vietnam.

Menurutnya, platform ini mampu membuka potensi baharu dan mewujudkan persekitaran kondusif untuk pertumbuhan bersama.

Linh turut menekankan bahawa hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan kekal sebagai tonggak utama hubungan Malaysia - Vietnam.

Malaysia kini merupakan rakan dagang kedua terbesar dan pelabur ketiga terbesar Vietnam dalam ASEAN.

Pada 2024, jumlah dagangan dua hala mencapai US$14.2 bilion, meningkat 20 peratus berbanding 2023, menghampiri sasaran US$18 bilion.

Beliau turut menyatakan bahawa kedua-dua negara mempunyai kekuatan yang saling melengkapi, terutamanya dalam industri halal, ekonomi hijau, transformasi digital dan tenaga boleh baharu.

-- BERNAMA-VNA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2426706