AM

Putera Mahkota Kuwait Ketuai Delegasi Ke Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Di Malaysia

24/05/2025 08:37 PM

Oleh Nabilah Saleh

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Putera Mahkota Kuwait Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah, akan berlepas ke Malaysia pada Ahad bagi mengetuai delegasi negara itu ke Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China di Kuala Lumpur.

Menurut Agensi Berita Kuwait (KUNA), beliau mewakili Amir Kuwait Sheikh Meshal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah, ke mesyuarat peringkat tinggi itu.

Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung kali diadakan, bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 26 dan 27 Mei ini.

Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang dijadual pada 27 Mei, serentak dengan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC, menjadi platform penting bagi memperluas kerjasama serantau dan antara rantau.

Sidang-sidang kemuncak itu dijangka menumpukan kepada pengukuhan kerjasama antara negara anggota GCC dan ASEAN, selain mempererat hubungan dengan China dalam bidang utama seperti perdagangan, pelaburan dan keselamatan serantau.

– BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2426703