PUTRAJAYA, 23 Mei (Bernama) -- Pasaran buruh negara kekal kukuh pada suku pertama 2025 (ST1 2025), dengan tenaga buruh sebanyak 17.23 juta orang dan kadar pengangguran stabil pada 3.1 peratus, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata prestasi positif itu disokong oleh peningkatan berterusan dalam pekerjaan dan penurunan dalam pengangguran.
Beliau berkata tenaga buruh meningkat sebanyak 458,700 orang kepada 17.23 juta orang berbanding 16.77 juta orang pada ST1 2024, didorong oleh peningkatan 3.0 peratus tahun ke tahun dalam penduduk bekerja kepada 16.7 juta orang.
“Kadar penyertaan tenaga buruh meningkat kepada 70.7 peratus (ST1 2024: 70.5 peratus), manakala bilangan penganggur menurun kepada 526,300 orang, dengan kadar pengangguran kekal stabil pada 3.1 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini
Mohd Uzir berkata demikian berdasarkan Sorotan Pasaran Buruh, Suku Pertama 2025 (LMR ST1 2025) terbitan DOSM hari ini.
Dalam menangani situasi guna tenaga tidak penuh, beliau berkata pertumbuhan guna tenaga yang berterusan pada ST1 2025 membawa kepada penurunan ketara dalam penunjuk guna tenaga tidak penuh.
“Bilangan penduduk bekerja kurang daripada 30 jam seminggu menurun sebanyak 11.1 peratus tahun ke tahun kepada 242,700 orang.
“Guna tenaga tidak penuh berkaitan masa juga mencatatkan penurunan sebanyak 9.2 peratus, berjumlah 146,900 orang, dengan kadar pada 1.5 peratus,” katanya.
Mohd Uzir berkata pasaran buruh Malaysia kekal kukuh pada ST1 2025, beradaptasi dengan cabaran yang semakin meningkat dalam era Industri 4.0.
“Bagi memenuhi permintaan yang semakin tinggi terhadap kepakaran digital, kerajaan telah memperuntukkan inisiatif sebanyak RM20 juta untuk melatih 5,000 rakyat Malaysia dalam sektor teknologi utama serta memperkukuh program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan pensijilan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya.
-- BERNAMA