AM

Wawasan Komuniti ASEAN Dijangka Terus Dukung Nilai Teras Keamanan, Kestabilan

24/05/2025 07:49 PM

Oleh Vikneswaran Raman

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Wawasan Komuniti ASEAN (ACV) 2045, sebuah kerangka strategik untuk tempoh 20 tahun yang baharu bakal dilancarkan pada Isnin bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, dijangka terus mendukung nilai teras ASEAN, iaitu keamanan, kestabilan, kemakmuran dan pembangunan mampan.

Pakar dalam kajian geopolitik dan Asia, Prof Dr James Chin dari University of Tasmania berkata wawasan baharu ini akan amat sama dengan ACV 2025 yang dilancarkan pada 2015, dengan lebih penekanan terhadap keterangkuman, kemampanan dan daya tahan yang akan memberi manfaat kepada hampir 700 juta penduduk di rantau ini.

“Mungkin ada sesuatu mengenai Timor Leste juga. Dengan pelancaran wawasan baharu itu, kita boleh menjangka setiap negara akan berusaha keras ke arah mencapai matlamat dan sasaran untuk Komuniti ASEAN yang lebih baik.

“Bagaimanapun, ia akan bergantung pada setiap negara sejauh mana mereka akan berusaha untuk mencapainya. Sesetengah negara akan menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada yang lain,” kata Pengarah Asia Institute Tasmania itu ketika dihubungi. 

Wawasan selama 20 tahun itu akan menjadi kesinambungan kepada ACV 2015, wawasan 2009-2015 yang telah diisytiharkan oleh para pemimpin ASEAN pada 2009. 

Komuniti ASEAN telah ditubuhkan secara rasmi pada 2015 semasa Malaysia sebagai pengerusi ASEAN sebelum ini dengan kerangka untuk tempoh 10 tahun, iaitu ACV 2025 yang berteraskan tiga tonggak utama -Komuniti Politik-Keselamatan, Komuniti Ekonomi dan Komuniti Sosiobudaya.

Sementara itu, James berkata ACV 2045 dijangka tidak menyentuh tarif balas yang dikenakan oleh Amerika Syarikat serta isu Laut China Selatan dan krisis Myanmar. 

Apabila ACV 2025 dilancarkan sedekad yang lepas, negara-negara ASEAN mencatatkan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak US$2.6 trilion (1US$=RM4.23) pada 2014.

Hari ini, ASEAN mencatatkan gabungan KDNK sebanyak US$4.1 trilion pada 2024 dan diunjurkan menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030. 

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 bermula semalam dengan mesyuarat pegawai kanan, diikuti mesyuarat peringkat menteri esok dan sidang kemuncak pemimpin, Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pada Isnin dan Selasa. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2426679