Oleh Noor Azuki Fahme Ismail
KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Majlis Kerjasama Teluk (GCC) mengecam tindakan Israel yang terus mengenakan sekatan terhadap bantuan kemanusiaan ke Gaza, dan menyifatkannya sebagai satu jenayah perang.
Penolong Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Negara Teluk (GCC) bagi Hal Ehwal Politik dan Rundingan Dr Abdel Aziz Abu Hamad Aluwaisheg berkata Israel menggunakan sekatan tersebut untuk mempengaruhi hasil politik dan telah menyebabkan kebuluran serius dalam kalangan rakyat Gaza.
“Mereka (Israel) cuba melakukan pembersihan etnik di Gaza; ini merupakan jenayah perang,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan mesyuarat berkaitan di Kuala Lumpur, hari ini.
Abdel Aziz menggesa Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) supaya mengeluarkan perintah serta-merta bagi memaksa Israel menghentikan sekatan itu, dan mengencam kegagalan Tel Aviv mematuhi perintah ICJ dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan terdapat lebih 2.1 juta penduduk Gaza kini terperangkap, kebuluran, dan dibedil/berada di bawah serangan, manakala bantuan penting termasuk makanan, ubat-ubatan, bahan api dan peralatan menyelamat masih tersekat di sempadan akibat sekatan Israel.
Mengulas mengenai konsensus antara ASEAN dan GCC, Dr Abdel Aziz berkata semasa Sidang Kemuncak ASEAN-GCC pertama di Riyadh pada 2023, kedua-dua pihak bersetuju mengenai beberapa perkara.
"Pertama, keperluan gencatan senjata yang segera dan berkekalan. Kedua, kepentingan menyalurkan semua bentuk bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza yang sedang dikepung. Ketiga keperluan untuk membenarkan PBB dan agensi bantuan di bawah PBB menjalankan tugas mereka di Gaza, dan tidak menyekat mereka daripada memasuki kawasan itu.”
"Dan akhirnya, pada 2023, kami mengiktiraf peranan Arab Saudi dalam usaha menangani isu asas Israel-Palestin melalui penyelesaian dua negara," katanya.
Beliau berkata GCC juga mengiktiraf peranan negara-negara GCC lain dalam rundingan untuk mencapai gencatan senjata dan pertukaran tebusan.
"Ini adalah peranan bersama yang dimainkan oleh Qatar, Mesir, dan Amerika Syarikat. Jadi, inilah yang kami persetujui pada 2023," katanya.
Abdel Aziz turut menyuarakan harapan agar Sidang Kemuncak ASEAN-GCC di Kuala Lumpur akan mencapai kesepakatan yang serupa seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak dua tahun lalu di Riyadh.
Malaysia akan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 26 hingga 27 Mei, sebagai sebahagian daripada peranannya selaku Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.
Bersempena sidang kemuncak tersebut, dua mesyuarat peringkat tinggi akan turut berlangsung, iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung-julung kali diadakan serentak, mencerminkan usaha ASEAN memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa..
-- BERNAMA