SUKAN

Cabaran Bakat Aeroangkasa LIMA Serlah Potensi Generasi Muda - Hannah Yeoh

24/05/2025 08:46 PM

LANGKAWI, 24 Mei (Bernama) -- Cabaran Bakat Aeroangkasa LIMA anjuran Kelab Rakan Udara Malaysia (KRUM) berjaya membuktikan kemampuan generasi muda mendepani cabaran teknologi abad ke-21, khususnya dalam bidang aeroangkasa.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dalam hantaran di laman Facebook memaklumkan hal itu terbukti apabila 200 pelajar dari sekolah menengah dan universiti menyertai pertandingan berinovasi tinggi seperti Perlumbaan Dron FPV, Aeronautic Model Renovation dan Rocketry Design sempena pameran tersebut.

Pertandingan itu menampilkan kreativiti dan semangat kompetitif peserta yang selari dengan aspirasi negara dalam bidang aeroangkasa.

“Sebagai sebahagian daripada komitmen Kerajaan MADANI, Geran Padanan Sukan sebanyak RM45,000 telah diperuntuk bagi memperkukuh platform ini sebagai wadah menggilap bakat belia dalam sukan udara dan disiplin STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik),” katanya.

Hannah berharap geran itu dapat menjadi pemangkin kepada pembentukan kerjaya profesional dalam industri aeroangkasa yang sedang berkembang pesat.

Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) anjuran bersama Kementerian Pertahanan dan Global Exhibitions and Conferences Sdn Bhd (GEC) bertemakan Inovasi Hari Ini, Pencapaian Masa Hadapan yang menekankan aspek inovasi serta daya saing dalam kalangan pemain industri maritim dan aeroangkasa.

LIMA'25 yang berlangsung di Langkawi, Kedah bermula 20 Mei lepas dan merupakan pameran dwitahunan terbesar dalam industri maritim serta aeroangkasa di Asia Tenggara sejak dianjurkan pada 1991, melabuhkan tirainya hari ini.

 -- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2426707