AM

Belia Diseru Sertai TVET Pertanian Di Bawah KPKM, Tawar Pengajian Secara Percuma

24/05/2025 11:30 AM

PUTRAJAYA, 24 Mei (Bernama) -- Belia negara diseru menyertai program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pertanian di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang menawarkan pengajian percuma dalam bidang pertanian moden selaras kehendak semasa industri.

Pengarah Bahagian Pembangunan Kapasiti dan Latihan KPKM Hizatul Haliza Hashim berkata  program TVET Pertanian bakal membuka pembuka peluang kerjaya luas sekali gus menjadikan belia negara sebagai tunjang penting kepada keterjaminan makanan negara.

Beliau berkata sebanyak 16 pusat bertauliah di bawah KPKM menyediakan program TVET Pertanian secara percuma, antaranya Koleh Pertanian Malaysia, Kedah, Institut Latihan Mekanisasi dan Automasi Peladang (ILMAP), Kelantan dan Institut Veterinar Malaysia, Johor.

“Yuran pengajian di 16 institut latihan pertanian ini ditaja sepenuhnya. Kita juga menyediakan elaun bulanan sebanyak RM200 untuk pengajian peringkat sijil kemahiran. Makan, minum dan penginapan disediakan, manakala peralatan ditaja sepenuhnya oleh kerajaan. 

“Saya menyeru semua belia, anak muda untuk menyertai kami TVET Pertanian di bawah KPKM memandangkan anda adalah pelapis untuk memastikan keterjaminan makanan negara,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Hizatul Haliza berkata TVET Pertanian adalah terbuka kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berusia 18 hingga 25 tahun untuk mengikuti program latihan dalam bidang kemahiran, antaranya tanaman, ternakan ruminan, pengeluaran padi serta akuakultur air tawar.

Bagi memastikan setiap program ditawarkan kekal relevan, beliau menegaskan KPKM sentiasa  menyemak dan menambah baik kurikulum yang diguna pakai bagi memenuhi keperluan dan kehendak industri.

“Kita engage dengan industri untuk mendapatkan maklum balas daripada industri. Apakah yang diperlukan dalam sektor pekerjaan sekarang.

“Kurikulum juga dikemas kini setiap lima tahun ataupun jika ada keperluan sebab sekarang zaman teknologi, jadi kita memang akan semak bila ada keperluan,” katanya sambil menambah KPKM turut medapatkan kerjasama pakar daripada universiti.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dilapor berkata kebolehpasaran graduan TVET Pertanian di institut serta pusat latihan di bawah KPKM mencatatkan peningkatan kepada 78.1 peratus pada 2023 berbanding 72.3 peratus pada 2022.

KPKM berharap kadar itu terus meningkat dan melepasi sasaran ditetapkan, iaitu melebihi 80 peratus.

Konvokesyen Pertanian ke-13 KPKM pada Khamis lepas menyaksikan seramai 448 graduan menerima sijil dan diploma antaranya Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Pertanian, Sijil Veterinar Malaysia dan Sijil Perikanan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2426454