JOHOR BAHRU, 24 Mei (Bernama) -- Kerajaan bersedia untuk mengkaji pelaksanaan e-Invois oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi memastikan ia tidak membebankan syarikat-syarikat kecil, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kita akan kaji kerana e-Invois ini sangat penting untuk mengelakkan daripada kebocoran dan kehilangan hasil.
“Tetapi bagi syarikat-syarikat kecil, itu agak membebankan. Jadi insya-Allah kita akan perbaiki supaya tidak membebankan,” katanya dalam ucapan penggulungan sekali gus menangguhkan Kongres Nasional tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2024/2025, yang berakhir hari ini.
E-Invois dilaksanakan secara berfasa bermula 1 Ogos 2024 bagi syarikat yang mempunyai jualan melebihi RM100 juta, dalam usaha meningkatkan kecekapan pengurusan pentadbiran cukai di Malaysia.
Fasa kedua dilaksanakan pada 1 Jan lepas bagi syarikat yang mempunyai jualan antara RM25 juta dan RM100 juta manakala pelaksanaan e-Invois fasa ketiga secara menyeluruh akan bermula pada 1 Julai depan yang melibatkan semua jenis perniagaan termasuk Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS).
Menyentuh mengenai subsidi, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia merupakan antara negara tertinggi yang memberikan subsidi.
“Seperti (penyelarasan kadar tarif) elektrik, 85 peratus pengguna tidak terkesan tetapi cara kita menjelaskan itu lemah… tetapi subsidi gas memang betul, ada beberapa dalam kalangan syarikat kecil dan sebagainya masih menghadapi masalah walaupun ada peruntukan untuk menampung kerugian mereka.
“Hal ini juga kita akan teliti supaya tidak membebankan syarikat-syarikat kecil,” katanya.
Mengenai subsidi petrol, Perdana Menteri berkata kerajaan tidak bersetuju dengan cadangan untuk harga petrol dinaikkan dan kerajaan memberikan subsidi.
“Saya dan Jemaah Menteri tidak bersetuju menaikkan harga minyak. Harga minyak boleh diturunkan sedikit demi sedikit mengikut keadaan harga semasa. Harga minyak mesti dinaikkan untuk orang asing. Kita ada 3.5 atau empat juta orang asing di negara kita dan mereka dapat subsidi minyak.
“Apa salahnya kalau kita menyelaraskan subsidi bagi orang asing. Orang asing yang mempunyai kenderaan, mengikut unjuran kita belanja RM4 bilion untuk subsidi kepada mereka. Jadi kalau kita tarik maknanya (langkah diambil) siapa nak beli minyak tunjuk kad pengenalan atau ada kaedah-kaedah lain yang akan difikirkan tetapi jangan kita tolak pelarasan subsidi,” katanya.
Anwar berkata tiada negara di dunia yang memberikan subsidi kepada orang asing dan golongan kaya serta memberi jaminan bahawa rakyat di negara ini, tidak akan terkesan dengan pelarasan subsidi.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut berkongsi mengenai dapatan kajian IDE Research Centre yang menunjukkan peningkatan sokongan penjawat awam terhadap Kerajaan MADANI berbanding tahun sebelumnya.
“Syukur kajian itu tunjuk 1.4 juta penjawat awam majoritinya Melayu, kajian yang libat seluruh rangkaian tunjukkan memang ada peralihan nyata dukungan tentang tentera, polis, penjawat awam itu berubah (meningkat) drastik.
“Ini petanda sangat bagus yang harus meyakinkan kita bahawa penjawat awam itu pandangannya dah positif pada kerajaan,” katanya.
Beliau berkata inisiatif Kerajaan MADANI melaksanakan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) pada Disember lepas telah menunjukkan kesan positif dengan penjawat awam dilihat bekerja lebih tegas dan efisien.
“Tahniah penjawat awam, kita jangan tunjuk kelemahan sahaja tapi kena akui ada perubahan yang dilakukan dan kalau mereka (penjawat awam) masih (ada) langgar (peraturan), rasuah, itu akan diambil tindakan,” katanya.
-- BERNAMA