Oleh Wong Chun Wai
KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Pemilihan pimpinan pusat PKR dengan jelasnya menujukkan bahawa para perwakilan telah mengundi untuk satu “Pasukan PKR”.
Ini kerana tidak ada satu pasukan pun yang membolot kesemua jawatan.
Yang pasti, undian mereka tidak sepenuhnya berdasarkan kepada calon-calon yang kononnya berpihak kepada seorang pemimpin tertentu. Rekod prestasi dan merit menjadi keutamaan, bukan kesetiaan kepada mana-mana tokoh.
Peraturan pada pemilihan itu dengan jelas menyatakan bahawa tidak dibenarkan untuk ada senarai kumpulan calon, namun umum tepat mengetahui wujudnya penyekutuan.
Dikenali sebagai “cai” atau “cai dan” seperti dalam menu restoran Cina, senarai itu merujuk kepada calon-calon yang disyorkan atau yang disokong.
Timbalan presiden yang tewas Datuk Seri Rafizi Ramli, telah mengingkari peraturan itu dan secara terbuka memuat naik di akaun Facebooknya, senarai calon pilihan yang sehaluan dengan kempen beliau.
Ini termasuk Datuk Seri Aminuddin Harun (Menteri Besar Negeri Sembilan), Chang Lih Kang (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) dan Nik Nazmi Ahmad (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam) serta Manivanan Gowin.
Manakala Nurul Izzah Anwar yang menewaskan Rafizi bagi jawatan timbalan presiden itu pula disokong Datuk Seri Amiruddin Shaari (Menteri Besar Selangor) dan Ahli Parlimen Sungai Buloh Datuk R. Ramanan.
Namun demikian pujian harus diberikan kepada perwakilan daripada lebih 200 bahagian, yang membuat keputusan melangkaui politik dalaman parti.
Kempen kali ini berlangsung sengit dan seperti yang dijangka dalam mana-mana pertandingan, kadangkala ia penuh dengan emosi. Demokrasi memang sifatnya bising dan itulah nilai asas sistem tersebut. Ia juga mengenai pertandingan dan pilihan.
Nurul Izzah jelas menjadi pilihan sebaik sahaja beliau mengumumkan pencalonannya dan tumpuan pemilihan beralih kepada perebutan kepada empat jawatan naib presiden.
Para perwakilan telah membuat pilihan berdasarkan prestasi dan perpaduan. Mereka yang berjaya ialah Amiruddin, Aminuddin, Ramanan dan Chang. Kematangan pemilihan itu, turut mencerminkan barisan pelbagai kaum bagi keempat-empat jawatan tersebut.
Kemenangan dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) turut menunjukkan kehendak sebenar para perwakilan.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang berprofil tinggi, menduduki tempat teratas bagi 20 jawatan MPP, yang menyaksikan lebih 80 calon bertanding. Keputusan itu jelas membuktikan populariti besar Ahli Parlimen Lembah Pantai dalam kalangan ahli akar umbi PKR.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir, turut terpilih ke dalam majlis tersebut.
Ahli politik pro-Rafizi yang sebelum ini tewas jawatan ketua bahagian Johor Bahru, telah membuat dakwaan bahawa berlakunya ketidaktelusan dalam sistem pemilihan.
Namun, mereka yang dilihat menyokong Rafizi seperti Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung dan Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Nor juga terpilih sebagai MPP.
Kini setelah pemilihan parti selesai, tugas segera kepimpinan parti ialah menyembuhkan luka dan mengukuhkan saf kepimpinan.
Tidak ada gunanya memenangi perang yang kecil, tetapi kalah dalam pertempuran sebenar - iaitu pilihan raya umum yang akan tiba dalam masa lebih kurang dua tahun lagi.
Tempoh 18 hingga 20 bulan akan datang sangat penting untuk PKR bagi memperkukuh kubu dan mempersiapkan senjatanya.
Mereka yang kalah dalam pemilihan, perlu menerima kekalahan dengan berlapang dada kerana seperti dalam mana-mana pilihan raya, pasti ada yang menang dan ada yang kalah.
Dakwaan mengenai sistem pemilihan yang cacat atau dimanipulasi, terbukti tidak berasas selepas keputusan diumumkan.
Nurul Izzah memenangi jawatannya dengan majoriti besar, namun kini beliau menggalas tanggungjawab yang lebih besar. Beliau memperoleh 9,803 undi berbanding 3,866 undi yang diperoleh Rafizi.
Beliau menutup kempen dengan kata-kata yang tepat: “Saudara Rafizi adalah sahabat saya, bukan sahaja sejak dahulu, tetapi kini dan selamanya”.
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dipimpin oleh PKR dan lawan sebenar mereka berada di luar gabungan itu.
Hakikatnya, PKR bukanlah parti dengan jumlah Ahli Parlimen terbanyak dalam PH dan kini perlu berhadapan dengan pihak lawan yang juga menjadi rakan dalam Kerajaan MADANI.
Ia suatu persamaan yang pelik dan rumit, namun setakat ini berfungsi dengan baik - walaupun ia sedikit menjejaskan pelaksanaan kepada janji-janji reformasi PKR.
Jangan kita lupa, dalam 68 tahun kemerdekaan negara, ini kali pertama Kerajaan Persekutuan dipimpin oleh parti berbilang kaum yang sebenar.
Jalan menuju reformasi tidak dapat dicapai dalam masa dua tahun, walaupun kadang-kala kesabaran mula menipis, namun ia tetap lebih baik daripada naratif perkauman dan keagamaan.
-- BERNAMA
*Datuk Seri Wong Chun Wai, seorang wartawan veteran, merupakan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).