AM

Malaysia Akan Terus Perjuang Keadilan Buat Gaza - PM

24/05/2025 10:42 PM

JOHOR BAHRU, 24 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia akan terus memperjuangkan keadilan buat Gaza dan menentang penjajahan Israel.

Beliau berkata sebagai sebuah negara kecil, Malaysia telah berusaha sebaiknya menyuarakan hak dan pembebasan rakyat Palestin di pentas antarabangsa.

"Memang di banyak negara orang mengharapkan kita berusaha lebih lantang lagi. Saya fikir ini menyedihkan kerana ia menunjukkan kemunafikan dalam sistem politik dunia yang sungguh-sungguh mengaibkan," katanya.

Anwar, yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), berkata demikian dalam ucapan penggulungan sebelum menangguhkan Kongres Nasional PKR 2024/2025 yang berakhir hari ini.

Beliau berkata PKR menghargai pihak yang mempunyai pendirian menyuarakan keadilan terhadap nasib Palestin termasuk kenyataan Paus Leo XIV yang menyeru agar gencatan senjata segera dilaksanakan di Semenanjung Gaza.

"Kenyataan pertama itu kadang-kadang suaranya itu lebih hebat daripada pemimpin Islam yang lain.

"Jadi, kita akan terus perjuangkan keadilan dan hak menentang penjajahan, penjajahan mana-manapun kita tentang termasuk penjajahan Israel ke atas bumi Gaza," katanya.

Agensi berita Anadolu pada 13 Mei melaporkan sekurang-kurangnya 52,908 rakyat Palestin maut dalam serangan genosid yang dilancarkan Israel sejak Oktober 2023.

Pada November lepas, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa kerana melakukan  serangan di kawasan berkenaan.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2426611