Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan Selasa dengan bercampur-campur berikutan ketiadaan pemangkin baharu dan seiring prestasi pasaran serantau yang menguncup.
Pada 5 petang, indeks petunjuk utama turun 7.27 mata atau 0.47 peratus kepada 1,548.87 daripada paras 1,556.14 pada akhir dagangan semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka menokok 0.78 mata kepada 1,556.92 dan bergerak turun naik antara 1,545.77 dan 1,561.10 sepanjang sesi dagangan hari ini.
Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 478 berbanding 458 manakala 496 kaunter tidak berubah, 977 tidak diniagakan dan 17 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.61 bilion unit bernilai RM1.98 bilion daripada 3.71 bilion unit bernilai RM2.27 bilion.
Naib Presiden Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata walaupun pasaran utama seperti Hong Kong, China dan Jepun mencatat prestasi lebih baik, indeks FBM KLCI sebaliknya susut seiring dengan penurunan pasaran pesat membangun di peringkat serantau.
Beliau berkata pelabur turut mengalihkan tumpuan terhadap pengundian di Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) berkaitan pembaharuan cukai yang disokong oleh Presiden Donald Trump selain perkembangan mengenai rundingan perdagangan.
“Secara asasnya, prospek jangka sederhana kekal positif dan disokong oleh penilaian menarik selain keuntungan korporat yang lebih ketara dan keadaan ekonomi yang pulih.
“Sehubungan itu, kami menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam julat 1,540-1,570 untuk tempoh berbaki minggu ini," katanya kepada Bernama.
Thong juga menyifatkan tekanan jualan membabitkan saham pengguna, bank dan perladangan dengan pembelian berkaitan saham tenaga, hartanah dan REIT.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Public Bank naik tiga sen kepada RM4.52, Tenaga Nasional meraih empat sen kepada RM14.14, Petronas Gas menambah 14 sen kepada RM17.72, Hong Leong Bank dan Press Metal tidak berubah masing-masing pada RM19.90 dan RM4.96 manakala Maybank turun 10 sen kepada RM10.04.
Bagi saham aktif, PEOPLElogy yang julung kali disenaraikan di Pasaran ACE dan Tanco menokok 1.5 sen masing-masing kepada 26.5 sen dan 95.5 sen, NexG naik setengah sen kepada 38 sen, Velesto tidak berubah pada 16.5 sen dan Gamuda turun lima sen kepada RM4.52.
Indeks FBM Emas berkurangan 26.43 mata kepada 11,566.91, Indeks FBMT 100 turun 33.85 mata kepada 11,316.97 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 25.11 mata kepada 11,462.88.
Selain itu, Indeks FBM 70 meningkat 27.66 mata kepada 16,413.37, dan Indeks FBM ACE naik 6.60 mata kepada 4,653.54.
Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 43.08 mata kepada 18,315.92, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 0.04 mata kepada 156.46, Indeks Perladangan berkurangan 45.16 mata kepada 7,280.93 manakala Indeks Tenaga meningkat 7.27 mata kepada 714.77.
Jumlah dagangan Pasaran Utama menguncup kepada 1.17 bilion unit bernilai RM1.75 bilion daripada 1.46 bilion unit bernilai RM1.92 bilion pada Isnin.
Waran susut kepada 1.07 bilion unit bernilai RM128.67 juta berbanding 1.81 bilion unit bernilai RM1.92 bilion semalam.
Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 363.69 juta unit bernilai RM102.09 juta berbanding 443.55 juta unit bernilai RM139.15 juta pada Isnin.
Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 169.34 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan industri (172.29 juta), pembinaan (103.14 juta), teknologi (158.99 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (65.12 juta), hartanah (145.87 juta), perladangan (16.10 juta), REIT (12.30 juta), dana tertutup (88,900), tenaga (171.87 juta), penjagaan kesihatan (42.42 juta), telekomunikasi dan media (46.46 juta), pengangkutan dan logistik (26.15 juta), utiliti (41.59 juta) dan amanah perniagaan (37,900).
-- BERNAMA