AM

Negara Anggota ASEAN Disaran Jadikan Sektor Koperasi Dasar Pembangunan Nasional

22/05/2025 10:15 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Negara-negara anggota ASEAN disaran meletakkan koperasi sebagai sebahagian daripada dasar pembangunan nasional bagi memastikan penyelarasan dasar sektor itu di rantau ini lebih tersusun.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata langkah itu juga penting bagi mengangkat koperasi sebagai satu kekuatan ekonomi serantau yang setara dengan sektor lain.

“Sekarang orang melihat koperasi itu sektor yang terpinggir, hanya (melibatkan) kumpulan tertentu, tidak menjadi satu gerakan yang lebih besar jika dibandingkan dengan penyertaan ekonomi lain,” katanya dalam program Dari Kuala Lumpur ke Dunia terbitan Bernama TV malam ini. 

Abdul Fattah berkata tidak semua negara anggota ASEAN mengiktiraf koperasi dalam dasar negara masing-masing sekali gus mewujudkan jurang hala tuju dan penyertaan dalam agenda ekonomi serantau.

Beliau berkata ASEAN seharusnya mengambil pendekatan lebih terbuka untuk memberi ruang kepada koperasi menyumbang secara aktif dalam penyusunan dasar serantau, selari dengan kekuatan keanggotaannya yang meluas.

“Pada peringkat ASEAN, bilangan koperasi melebihi 300,000, dengan jumlah keanggotaan sebanyak hampir 66 juta, tetapi pergerakan ini masih tidak diberi tempat sewajarnya dalam struktur pentadbiran ekonomi serantau.

"Kita perlu bekerjasama dan kita perlu meneroka dengan ambil peluang-peluang perniagaan dari pelbagai rantau dan bersaing pada peringkat global … jika tidak nanti kita ketinggalan," katanya. 

Abdul Fattah yang juga Presiden Pertubuhan Koperasi ASEAN (ACO) berkata cadangan itu akan terus diketengahkan kepada pemimpin ASEAN melalui dokumen resolusi ACD2025 bagi memastikan koperasi tidak lagi dipinggirkan dalam ekosistem pembangunan ekonomi ASEAN.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 akan bermula dengan mesyuarat peringkat pegawai-pegawai kanan pada 23 Mei diikuti mesyuarat peringkat menteri pada 25 Mei manakala mesyuarat ketua-ketua kerajaan pula akan bermula pada 26 Mei.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2425887