EKONOMI

Konsolidasi Fiskal Malaysia Bagi Suku Pertama 2025 Kekal Di Landasan Tepat --MOF

22/05/2025 09:52 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Defisit fiskal Kerajaan Persekutuan pada akhir Mac 2025 menyusut kepada RM21.9 bilion pada suku pertama 2025 daripada RM26.4 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Ia bagaimanapun menunjukkan pengukuhan fiskal kekal berada di landasan yang tepat.

Kementerian Kewangan (MOF) berkata pencapaian itu dipacu oleh kutipan hasil yang lebih tinggi dan pengoptimuman perbelanjaan sejajar dengan inisiatif konsolidasi fiskal.

MOF hari ini menerbitkan Laporan Ekonomi Malaysia Suku Pertama 2025 yang menyediakan gambaran menyeluruh mengenai prestasi makroekonomi negara dan kedudukan fiskal semasa selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk meningkatkan ketelusan serta akauntabiliti pengurusan kewangan awam.

Laporan berkenaan diterbitkan setiap suku tahun.

Menurut laporan itu, hasil Kerajaan Persekutuan meningkat sebanyak tiga peratus daripada suku yang sama 2024 kepada RM72.1 bilion, dipacu oleh kutipan cukai yang lebih tinggi terutamanya daripada peningkatan hasil Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta kutipan cukai pendapatan individu.

Sementara itu, jumlah perbelanjaan menurun sebanyak 2.5 peratus kepada RM94.2 bilion terutamanya disebabkan pengurangan perbelanjaan subsidi berikutan pelaksanaan program penyasaran subsidi diesel dan harga minyak global yang lebih rendah.

“Namun begitu, program bantuan sosial bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Insentif Pendaratan Ikan dan Skim Subsidi Harga Padi terus diperkukuh.

“Di samping itu, peruntukan kepada badan berkanun turut dioptimumkan hasil keberkesanan dan kecekapan operasi agensi berkaitan,” kata kementerian berkenaan.

KDNK Malaysia suku pertama 2025 berkembang sebanyak 4.4 peratus, mengatasi kadar pertumbuhan 4.2 peratus yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas.

Pertumbuhan itu dipacu oleh permintaan domestik yang berdaya tahan serta pemulihan berterusan dalam sektor utama seperti perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.

Laporan Ekonomi Malaysia Suku Pertama 2025 yang penuh boleh diakses melalui pautan berikut: https://mof.gov.my/portal/pdf/ekonomi/suku-tahunan/.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2425881