KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Juara Terbuka Thailand 2025 Aaron Chia-Soh Wooi Yik muncul beregu lelaki terakhir negara yang berjaya menempah tempat ke suku akhir Masters Malaysia 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.
Pilihan keempat kejohanan itu tidak berdepan masalah menundukkan gandingan bukan pilihan dari Taiwan, Liu Kuang Heng-Yang Po Han, 21-13, 21-16, dalam aksi pusingan kedua kejohanan bertaraf Super 500 itu.
Aaron, 28, yang berpuas hati dengan kejayaan tersebut berkata mereka lebih fokus kepada prestasi sendiri dan tidak memikirkan siapa lawan seterusnya.
“Kalau diberi pilihan, saya lebih suka menang kejuaraan. Kedudukan dunia cuma beri sedikit kelebihan, tetapi kami kena fokus pada permainan kami,” katanya selepas perlawanan.
Bekas juara dunia 2022 itu bakal menentang pilihan ketujuh dari Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard, yang menggagalkan pertemuan sesama wakil negara di suku akhir selepas menewaskan juara remaja dunia 2024, Kang Khai Xing-Aaron Tai.
Khai Xing-Aaron hampir mencipta kejutan ke atas beregu pilihan ketujuh itu apabila mengheret mereka ke aksi set penentuan selama 67 minit sebelum tewas 10-21, 26-24, 16-21.
Ketegangan memuncak dalam set penentuan apabila pengadil garisan memberikan mata ke-15 kepada beregu Denmark menerusi satu keputusan yang dipertikaikan – apabila bulu tangkis yang kelihatan keluar dianggap masuk.
Situasi itu memaksa ketua jurulatih beregu lelaki negara Herry Iman Pierngadi masuk ke gelanggang untuk mendapatkan penjelasan daripada umpire, diiringi sorakan tidak puas hati daripada penyokong tuan rumah.
Lebih malang, gandingan nombor 58 dunia itu tidak dapat mencabar semula keputusan tersebut kerana sistem semakan hanya disediakan di Gelanggang 1.
Khai Xing yang nyata kecewa selepas tamat perlawanan menyifatkan keputusan itu sebagai tidak adil kerana menjejaskan fokus mereka.
“Saya tiada jawapan… bulu tangkis keluar tapi kata masuk. Pengalaman ini memang tidak bagus untuk kami, tetapi mungkin selepas ini kami akan jadi lebih kuat apabila berdepan situasi seperti ini,” katanya.
Sementara itu, satu lagi beregu negara Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri tersingkir selepas tumpas kepada bekas juara dunia 2021 dari Jepun, Takuro Hoki-Hugo Kobayashi, 14-21, 13-21.
Aaron-Wooi Yik bakal menyertai pilihan kedua Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, yang akan menentang rakan senegara, pilihan kelima Man Wei Chong-Tee Kai Wun, dalam satu lagi pertembungan sesama Malaysia di suku akhir esok.
Beregu nombor dua dunia Sze Fei-Nur Izzuddi, sebelum itu menyingkirkan pasangan Taiwan, Chen Zhi Ray-Lin Yu Chieh, 21-19, 21-13, manakala Wei Chong-Kai Wun menewaskan gandingan Jepun, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita, 21-17, 21-13.
-- BERNAMA