JENAYAH & MAHKAMAH

Pasukan Petugas Khas Ditubuh Tangani Isu Jemaah Haji Terkandas

22/05/2025 10:29 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Lembaga Tabung Haji (TH) akan menubuhkan Pasukan Petugas Khas menangani isu jemaah haji yang terkandas pada musim haji tahun ini.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata ia adalah langkah strategik bagi memastikan setiap aduan berkaitan isu jemaah haji terkandas dapat ditangani secara teratur dan berkesan.

Beliau berkata pasukan itu akan bermula pada 8 pagi, 30 Mei dan beroperasi secara 24 jam setiap hari.

Muhammed Hasbullah berkata pusat operasi pasukan itu bertempat di Bilik Mesyuarat One Stop Center, Aras 2, Parkir Blok B, Terminal Utama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

“Pasukan khas ini akan menyelaras siasatan, pengurusan dokumentasi serta tindakan undang-undang terhadap individu atau pemilik syarikat yang disyaki terlibat dalam penipuan tawaran haji,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata PDRM, MOTAC dan TH masing-masing mempunyai bidang kuasa dan perundangan tersendiri dalam menangani pelbagai bentuk kesalahan berkaitan penipuan haji dan segala tindakan akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

Muhammed Hasbullah berkata sebagai langkah pencegahan, bakal jemaah haji dinasihati supaya membuat semakan terperinci terhadap pakej haji yang ditawarkan serta memastikan syarikat yang terlibat berdaftar dengan TH bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2425890