EKONOMI

Produktiviti Buruh Per Jam Meningkat 1.0 Peratus Pada ST1 2025

22/05/2025 04:46 PM

PUTRAJAYA, 22 Mei (Bernama) -- Produktiviti buruh per jam bekerja meningkat 1.0 peratus pada suku tahun (ST) pertama 2025, mencatatkan RM42.5 setiap jam, menurut penerbitan Statistik Produktiviti Buruh Malaysia, Suku Tahun Pertama 2024 yang dikeluarkan hari ini.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata ekonomi Malaysia berkembang 4.4 peratus pada suku tahun pertama 2025 berbanding 4.9 peratus bagi suku tahun keempat 2024 (ST4 2024) manakala jumlah jam bekerja meningkat 3.3 peratus, mencatatkan 9.8 bilion jam (ST4 2024: 3.5 peratus, 9.7 bilion jam).

"Jumlah bilangan pekerja ialah 16.9 juta orang menunjukkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 3.0 peratus pada ST1 2025 (ST4 2024: 16.8 juta orang, 2.7 peratus) manakala produktiviti buruh per pekerja meningkat 1.3 peratus untuk merekodkan nilai ditambah per pekerja sebanyak RM24,580 seorang (ST4 2024: 2.1 peratus, RM25,635 seorang)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai prestasi sektoral bagi produktiviti buruh, Mohd Uzir berkata produktiviti buruh diukur sebagai nilai ditambah per jam bekerja pada suku ini didorong oleh pertumbuhan dalam sektor pembinaan pada 11.3 peratus, diikuti sektor pembuatan sebanyak 2.8 peratus, sektor perkhidmatan 0.5 peratus dan sektor pertanian 0.1 peratus.

Walaupun produktiviti buruh per jam bekerja mencatatkan peningkatan kecil pada suku ini, beliau berkata sektor perkhidmatan menunjukkan variasi prestasi bagi kebanyakan subsektor, iaitu hartanah dan perkhidmatan perniagaan (6.0 peratus), pengangkutan dan penyimpanan (4.3 peratus), perkhidmatan lain (2.8 peratus), maklumat dan komunikasi (0.8 peratus) serta perdagangan borong dan runcit (0.6 peratus).

Beliau berkata bagaimanapun, tiga subsektor lain menunjukkan pertumbuhan negatif, iaitu utiliti (-6.3 peratus), makanan, minuman dan penginapan (-2.5 peratus) serta kewangan dan insurans (-0.4 peratus).

Dari segi prestasi sektoral bagi produktiviti buruh yang diukur sebagai nilai ditambah per pekerja, Mohd Uzir berkata sektor pembinaan memacu prestasi keseluruhan dengan mencatatkan peningkatan memberangsangkan sebanyak 13.2 peratus pada ST1 2025, diikuti sektor pembuatan (2.2 peratus), sektor perkhidmatan (0.8 peratus) dan sektor pertanian (0.3 peratus).

Beliau berkata dengan dorongan pertumbuhan pasaran buruh yang mampan, aktiviti perniagaan yang berkembang pesat dan pengukuhan modal insan, produktiviti buruh Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk prospek positif yang berdaya tahan walaupun berdepan cabaran dalam pembaharuan pasaran buruh dan ketidaktentuan ekonomi.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2425700