AM

MAIPs Seru Masyarakat Dunia Berusaha Pastikan Bantuan Kemanusiaan Melalui GSF Tiba Di Gaza

02/10/2025 09:22 PM

KANGAR, 2 Okt (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyeru masyarakat antarabangsa tanpa mengira bangsa, agama dan negara agar berusaha sedaya upaya memastikan bantuan kemanusiaan melalui Global Sumud Flotilla (GSF) sampai kepada rakyat Palestin.

Raja Muda Perlis yang juga Yang Dipertua MAIPs Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah adalah tidak wajar sama sekali bagi sukarelawan yang membawa bantuan kemanusiaan ditahan dan dihalang daripada melaksanakan misi mereka.

“Lebih mendukacitakan lagi sekiranya diperlakukan apa yang tidak sewajarnya. Tindakan ini jika benar, jelas bertentangan dengan nilai-nilai kemanusiaan sejagat dan prinsip hak asasi manusia,” titah baginda dalam kenyataan rasmi dikeluarkan MAIPs hari ini.

Sehubungan itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah MAIPs menyeru umat Islam khususnya rakyat Perlis supaya terus berdoa dan memperbanyakkan amal soleh serta bersatu hati dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin yang ditindas.

“Di negeri Perlis tercinta, seluruh masjid telah melaksanakan bacaan Qunut Nazilah sejak 8 April 2025 sebagai tanda solidariti dan doa kepada saudara-saudara kita di Palestin,” titah baginda.

Bernama melaporkan setakat 3.39 petang ini, sebanyak 15 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF itu ditahan tentera Israel.

Misi kemanusiaan GSF itu disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara termasuk Malaysia berlayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan bantuan asas rakyat Palestin yang terkesan akibat serangan berterusan rejim Zionis.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan