KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Malaysia dan Pusat Penyelidikan dan Latihan Statistik, Ekonomi dan Sosial bagi Negara-Negara Islam (SESRIC) hari ini memperbaharui memorandum persefahaman (MoU) bagi mempertingkatkan kapasiti statistik, memperkukuh pembangunan mampan dan mempromosikan pertumbuhan inklusif bagi Negara-Negara Islam (OIC).
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan memaklumkan intipati MoU yang diperbaharui itu juga adalah komitmen bersama untuk memperluas perkongsian ilmu serta memastikan sistem statistik negara anggota OIC mampu menghasilkan data ekonomi, sosial dan alam sekitar yang berkualiti tinggi bagi menyokong dasar berasaskan bukti, pembangunan mampan dan pertumbuhan inklusif.
“Hari ini menandakan satu pencapaian penting dalam kerjasama erat dan berterusan antara Malaysia dan SESRIC, sekali gus menegaskan kembali visi bersama untuk memperkukuh keupayaan statistik serta mempererat kerjasama serantau di bawah OIC,” katanya.
Pembaharuan MoU itu bersempena dengan Sesi Suruhanjaya Statistik OIC (OIC-StatCom) ke-14 yang berlangsung pada 1 hingga 3 Okt 2025 di Ankara, Turkiye dan ditandatangani oleh Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin sebagai wakil Malaysia dan Ketua Pengarah SESRIC Zehra Zumrut Selcuk.
Mohd Uzir dalam kenyataan sama berkata MoU itu menzahirkan komitmen teguh Malaysia untuk meningkatkan kualiti, kebolehcapaian dan penggunaan statistik rasmi sebagai pemacu penting kepada penggubalan dasar berinformasi, akauntabiliti dan pembangunan mampan
“Melalui kerjasama dengan SESRIC, kami telah mencapai kemajuan yang signifikan dalam pembangunan kapasiti dan inovasi statistik, yang akan terus diperkukuh.
“Fokus kami kekal terhadap cabaran baharu termasuk transformasi digital, integrasi data raya dan Matlamat Pembangunan Mampan bagi memastikan komuniti kita kekal berdaya tahan serta berasaskan data,” katanya.
Dalam pada itu, Zehra Zumrut turut mengiktiraf kepimpinan Malaysia dan menekankan kerjasama itu akan memperkasakan ahli statistik, saintis data serta pembuat dasar di seluruh negara anggota.
Zehra menegaskan Malaysia dan SESRIC komited untuk memajukan sistem statistik yang memenuhi tuntutan era digital, memperkukuh integrasi serantau serta menyokong agenda pembangunan global.
Sejak dimeterai pada 2020, MoU yang diperbaharui ini menjadi landasan penting dalam memperkukuh kerjasama ke arah sistem statistik yang moden, berdaya saing dan inklusif, sekali gus menyokong aspirasi pembangunan serantau dan global.
“Sepanjang tempoh itu, DOSM memainkan peranan aktif dalam memperkasa kapasiti statistik, termasuk menyampaikan 29 program latihan dan sesi perkongsian teknikal.
“Inisiatif bersama ini turut menyumbang kepada kemajuan dalam metodologi statistik serta penggunaan alat pengumpulan data inovatif dalam kalangan negara anggota,” katanya dalam kenyataan sama.
Menurut DOSM, Malaysia buat julung kalinya berjaya mencatatkan pencapaian luar biasa apabila menduduki kedudukan teratas di peringkat global dalam laporan Inventori Data Terbuka (ODIN) 2024/25 dwitahunan yang dikeluarkan oleh Open Data Watch (ODW), mengatasi 198 negara lain.
“Pencapaian ini menandakan lonjakan ketara daripada kedudukan ke-67 dalam penilaian ODIN 2022/23,” katanya.
Kerajaan Malaysia mengisytiharkan 20 Okt sebagai Hari Statistik Kebangsaan (MyStats Day), dengan tema 'Statistik adalah Intipati Kehidupan', sementara Hari Statistik Sedunia Keempat akan disambut pada 20 Okt 2025 dengan tema 'Memacu Perubahan dengan Statistik dan Data Berkualiti untuk Semua Orang'.
OpenDOSM NextGen ialah medium yang menyediakan katalog data dan visualisasi untuk memudahkan analisis pengguna dan boleh diakses melalui https://open.dosm.gov.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial