ISKANDAR PUTERI, 2 Okt (Bernama) -- Johor Darul Ta’zim (JDT) melangkah ke suku akhir Piala FA dengan agregat 10-3 selepas menewaskan UM Damansara United 5-3 pada aksi kedua Pusingan 16 di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam ini.
Dengan kemenangan itu, JDT yang dibimbing Xisco Munoz akan berdepan Penang FC pada aksi pertama suku akhir di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada 18 Okt ini.
Pada perlawanan malam ini, gol pembukaan skuad Harimau Selatan hadir seawal minit ketiga hasil tandukan Romel Morales selepas menerima hantaran lintang Manuel Hidalgo untuk menewaskan penjaga gol pelawat Haziq Fitri Nek Lah.
Pasukan tuan rumah tidak menunggu lama untuk melebarkan kedudukan apabila Hidalgo berjaya merembat masuk bola ke gol lawan setelah menerima bola dari tengah padang pada minit kelapan.
JDT terus mencetak gol ketiga apabila Heberty Fernandes berjaya merembat masuk bola ke pintu gol hasil lorongan Nazmi Faiz Mansor pada minit ke-15.
Memasuki babak kedua, UM-Damansara menghukum kesilapan penjaga gol JDT Christian Abad, yang gagal menolak bola dengan kemas untuk membuka ruang kepada Thankgod Michael membolosi gawang tuan rumah pada minit ke-62.
Pasukan pelawat terus merapatkan jurang pada minit ke-66, apabila Anuar Cessay menemui sentuhan jaringan selepas menerima hantaran kemas Thankgod.
Anuar kemudian menambah luka JDT apabila meledak gol ketiga pada minit ke-74, selepas bijak memanfaatkan ruang untuk menewaskan Abad sekali lagi.
JDT yang menerima sepakan penalti selepas bola terkena tangan Brandon Liew terpaksa akur apabila sepakan Morales berjaya ditepis penjaga gol Haziq Fitri.
Bagaimanapun, kekecewaan tersebut tidak berpanjangan apabila Morales menebus kegagalan itu dengan menambah gol kelima JDT pada masa kecederaan babak kedua.
Kemenangan itu turut melebarkan rekod cemerlang JDT dalam saingan domestik, dengan Harimau Selatan kini tidak tewas sepanjang 15 perlawanan berturut-turut dalam semua kejohanan musim ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial