ISTANBUL, 2 Okt (Bernama-Anadolu) -- Pihak berkuasa Israel pada Khamis mula mengadakan perbicaraan pengusiran terhadap aktivis yang ditahan daripada flotila bantuan antarabangsa menuju ke Semenanjung Gaza yang dikepung, lapor Anadolu Ajansi (AA), memetik kenyataan sebuah pusat undang-undang.
Dalam satu kenyataan, Adalah, pusat undang-undang pertama yang dikendalikan oleh rakyat Arab Palestin di Israel memaklumkan yang ia menerima panggilan daripada peserta flotila yang melaporkan pegawai imigresen memulakan sesi perbicaraan berkaitan penahanan dan perintah pengusiran mereka di Pelabuhan Ashdod, sejurus selepas pasukan tentera laut Israel menggempur puluhan kapal flotila lewat Rabu dan awal pagi Khamis.
“Proses ini dimulakan tanpa sebarang notis awal kepada peguam mereka dan dalam masa yang sama menafikan akses peserta kepada khidmat guaman,” kata Adalah.
Ia menyifatkan tindakan itu sebagai “pelanggaran serius terhadap proses keadilan dan penafian hak asasi peserta”, sambil menegaskan yang mereka akan terus berusaha mendapatkan akses undang-undang dan mengambil tindakan perundangan jika perlu.
Adalah kemudian memaklumkan yang pasukan guamannya berjaya memasuki pelabuhan untuk bertemu dengan aktivis yang ditahan selepas sebelum itu dinafikan akses oleh pihak berkuasa Israel.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial