AM

Himpunan Sumud Flotilla: Rakyat Serah Memorandum Tuntut Tiga Perkara

02/10/2025 11:52 PM

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Ribuan rakyat Malaysia menyertai Himpunan Sumud Flotilla di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini hari ini, menyerahkan memorandum yang menggariskan tiga tuntutan utama berhubung isu Palestin serta sebagai tanda protes terhadap sekatan ke atas misi Global Sumud Flotilla (GSF).

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Muhammad Kamil Abdul Munim berkata memorandum itu menuntut pembebasan segera semua sukarelawan misi GSF tanpa sebarang tindakan dikenakan terhadap mereka.

“Yang kedua, kita mendesak Amerika Syarikat menggunakan pengaruhnya ke atas Israel supaya membenarkan kapal-kapal membawa makanan, perubatan dan bantuan kemanusiaan sampai ke perairan Gaza.

“Dan ketiga, kita mendesak Presiden Amerika Syarikat memastikan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu tidak hijack (rampas) proses perdamaian yang sedang dijalankan,” katanya ketika ditemui media selepas penyerahan memorandum di sini hari ini.

Bagaimanapun, pihak kedutaan enggan menghantar wakil untuk menerima memorandum berkenaan atas faktor keselamatan dan memberi jaminan ia akan diambil kemudian.

Mengenai sambutan rakyat terhadap himpunan hari ini, Muhammad Kamil berkata kehadiran lebih 5,000 peserta membuktikan solidariti dan kebangkitan rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin tanpa mengira fahaman politik dan agama.

“Walaupun notis untuk perhimpunan ini sangat singkat, ribuan rakyat turun ke jalan raya... Ini manifestasi rakyat Malaysia yang cinta akan keamanan dan cakna tentang perkembangan di Gaza,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri menegaskan isu Palestin melangkaui kepentingan politik kepartian.

“Dalam hal Gaza, setiap daripada kita harus ketepikan fahaman politik, warna kulit mahupun agama kerana ini soal keadilan dan kemanusiaan.

"Atas nama itu, semua pihak harus bersatu menyokong sebarang usaha termasuk yang dilakukan kerajaan Malaysia,” katanya.

Menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga memainkan peranan penting dengan menghubungi pemimpin dunia bagi memastikan keselamatan sukarelawan dalam misi berkenaan terjamin.

Beliau berkata himpunan itu akan diteruskan esok selepas solat Jumaat di lokasi sama dengan jangkaan kehadiran lebih ramai peserta.

Tinjauan Bernama mendapati orang ramai daripada pelbagai lapisan umur mula berkumpul pada 3 petang sebelum bergerak ke Kedutaan Amerika Syarikat kira-kira 4 petang.

Laungan takbir 'Allahuakbar' dan 'hancur Israel' bergema dalam Himpunan Sumud Flotilla #Stand4Sumud di Jalan Tun Razak di sini sebagai tanda protes kepada tindakan sekatan terhadap misi GSF.

Anggota polis turut dilihat melakukan kawalan berhampiran kedutaan AS bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Media melaporkan misi kemanusiaan GSF disertai oleh sukarelawan dari pelbagai negara termasuk Malaysia, yang belayar menuju Gaza dengan membawa bekalan bantuan asas untuk rakyat Palestin yang terkesan akibat serangan berterusan rejim Zionis.

Kenyataan Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) memaklumkan setakat 3.30 petang ini, sebanyak 15 sukarelawan kemanusiaan GSF rakyat Malaysia disahkan telah ditahan tentera Israel selepas kapal dinaiki mereka dipintas ketika memasuki zon merah.

Sementara itu, pekarangan stesen Keretapi Tanah Melayu di Ipoh, Perak dibanjiri ribuan rakyat yang berhimpun sebagai tanda solidariti dan protes terhadap tindakan Israel yang memintas misi bantuan ke Gaza.

Cuaca hujan tidak mematahkan semangat mereka untuk terus berkumpul dengan berpakaian serba hitam berserta mafla bendera Palestin, di samping membawa sepanduk serta melaungkan sokongan kepada aktivis GSF dan mengutuk rejim Zionis.

Esok, Masjid Sultan Abdul Aziz II akan mengadakan solat hajat khas selepas solat Jumaat bagi mendoakan kesejahteraan semua peserta GSF termasuk rakyat Malaysia yang kini ditahan Israel.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan