SEPANG, 2 Okt (Bernama) -- Pertemuan dengan keluarga 23 sukarelawan Malaysia yang kini ditahan tentera Israel selepas menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) akan diadakan segera bagi menyampaikan perkembangan terkini serta memberi jaminan sokongan penuh.
Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata pertemuan tertutup itu penting bagi memastikan keluarga sentiasa dimaklumkan mengenai situasi semasa sekali gus mengelakkan mereka terdedah kepada kekeliruan atau laporan tidak sahih.
"Dalam soal ini, keluarga adalah kumpulan pendukung utama. Namun mereka juga boleh terganggu emosi apabila melihat laporan bahawa kapal-kapal sudah masuk sekian tempat (pelabuhan).
"Maka menjadi tugas kami untuk memberikan penjelasan mengenai SOP (prosedur operasi standard) dan corak tindakan yang sedang berlangsung," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau turut memberi jaminan bahawa SNCC bersama pasukan perundangan dan pihak berkaitan akan terus memantau rapat perkembangan penahanan berkenaan.
Sani Araby turut merakamkan penghargaan atas solidariti rakyat Malaysia yang disifatkannya sebagai satu landskap membanggakan apabila sokongan di media sosial dinyatakan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.
"Doa dan sokongan rakyat Malaysia akan menjadi kekuatan kepada keluarga dan peserta yang kini ditahan. Kita harapkan mereka terus tabah dan diberikan kesabaran," katanya.
Sani Araby turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku penaung utama Sumud Nusantara dan Pengerusi ASEAN telah menghubungi Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan bagi memulakan usaha diplomasi peringkat tertinggi.
"Kita harapkan hubungan baik Malaysia dengan negara-negara besar dapat membuka ruang agar kumpulan Malaysia dan negara lain melalui fasa perundingan yang baik dan akhirnya dibebaskan," katanya.
Menjawab kritikan di media sosial mengenai risiko diambil oleh peserta flotila, Sani Araby menegaskan bahawa kesemua peserta sedar akan bahaya yang bakal ditempuhi ketika menyertai misi berkenaan.
"Mereka telah melalui latihan, memahami risiko dan memilih untuk tetap berjuang. Risiko ini patut diambil demi membela rakyat Gaza yang sekian lama dizalimi. Ini bukan kesalahan, ini adalah hak kemanusiaan," katanya.
Beliau berkata menteri berkaitan seperti Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar telah digerakkan sejak awal misi dan digelar "menteri penaung" dalam usaha kolektif ini.
"Kita juga sedang memasuki fasa perang naratif. Sentimen rakyat betul-betul menyokong pembebasan Gaza. Insya-Allah dalam masa terdekat kita akan masuk fasa perundingan," katanya.
Sani Araby turut menyeru seluruh rakyat Malaysia agar melakukan solat hajat dan bacaan Qunut Nazilah di masjid seluruh negara esok sebagai tanda solidariti dan doa untuk keselamatan peserta serta pembebasan Gaza.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial