AM

BUDI95 Bukti Penyasaran Subsidi Petrol Inklusif, Tiada Rakyat Terpinggir

30/09/2025 03:07 AM

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) telah mencatat satu hala tuju baharu dalam penyasaran subsidi petrol yang bukan sahaja berjaya memberikan manfaat kepada golongan rentan, malah turut merangkumi majoriti besar rakyat Malaysia.

Sebelum ini, timbul kebimbangan dalam kalangan kumpulan M40 bahawa mereka mungkin tidak lagi layak menerima subsidi petrol, namun pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 Sept lepas memberikan kelegaan kepada golongan berkenaan.

Dalam pertemuan Anwar yang juga Menteri Kewangan bersama dengan warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan September 2025, beliau secara tegas menyatakan semua warganegara, tanpa mengira tahap pendapatan yang mempunyai lesen memandu aktif, layak menikmati manfaat BUDI95 secara automatik.

Pelaksanaan BUDI95 secara berperingkat bermula pada 27 Sept lepas melibatkan kira-kira 300,000 anggota polis dan tentera sebelum diperluas kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kalangan golongan B40 pada hari berikutnya dan bermula dari tengah malam ini, sebanyak 16 juta rakyat Malaysia juga menikmatinya.

Kejayaan inisiatif itu menurunkan harga petrol kepada RM1.99 seliter berbanding dengan harga pasaran RM2.05 seliter membuktikan keupayaan tadbir urus yang mantap dan komitmen memerangi ketirisan, sekali gus memastikan majoriti rakyat mendapat faedahnya tanpa ada yang ketinggalan.

Menurut penganalisis ekonomi Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff daripada Putra Business School, keputusan kerajaan meluaskan manfaat BUDI95 kepada semua rakyat yang layak merupakan satu kejutan positif.

"Sebelum ini diumumkan 85 peratus rakyat terdiri daripada golongan B40, M40 dan penjawat awam tidak akan terjejas dengan penyasaran subsidi RON95, tetapi diumumkan kali ini 100 peratus rakyat Malaysia layak menikmati BUDI95. 

“Saya melihat peluasan manfaat ini ialah penghargaan kerajaan mengiktiraf sumbangan rakyat negara ini yang menyumbang kepada kemajuan negara tanpa mengira pendapatan,” katanya. 

Lebih membanggakan, Ahmed Razman berkata sejak pelaksanaan BUDI95 bermula pada 27 Sept, tiada isu teknikal atau gangguan sistem dilaporkan, sekali gus membuktikan kesiapsiagaan kerajaan dalam memastikan kelancaran pelaksanaan inisiatif rakyat itu. 

"Jika ada aduan pun hanyalah rungutan kecil yang kebanyakannya berpunca daripada lesen memandu pemohon yang tidak aktif, cip MyKad yang tidak dapat dibaca atau penggunaan nombor kad pengenalan lama, selain itu program ini berjalan dengan sangat baik," katanya. 

Mengulas pendekatan menggunakan MyKad dalam BUDI95, Ahmed Razman berkata langkah itu ialah kaedah terbaik Kerajaan MADANI dalam menangani isu ketirisan dan penyeludupan RON95 serta memastikan rakyat menikmati harga petrol antara yang terendah di rantau ini.

Anwar sebelum ini berkata tiada negara termasuk negara pengeluar petrol yang menurunkan harga untuk rakyat mereka, sebaliknya Malaysia mengambil langkah berani menurunkan harga petrol untuk dinikmati rakyat.

“Saban tahun, kita dilaporkan dengan berita penyeludupan minyak RON95 oleh mereka yang tidak layak serta pihak yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan daripadanya, maka dengan penggunaan MyKad dapat mengelakkan ketirisan ini daripada berlaku sekali gus membawa kepada penjimatan subsidi minyak. 

“Hal ini dapat dilihat semasa rasionalisasi subsidi diesel, kerajaan dapat menjimatkan RM4 bilion yang kemudiannya disalurkan kepada peruntukan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang dinaikkan daripada RM10 bilion kepada RM13 bilion,” kata Ahmed Razman. 

Setiap rakyat Malaysia yang layak, akan menerima siling kelayakan bulanan RON95 bersubsidi hingga 300 liter sebulan manakala pemandu e-hailing diberi pengecualian daripada siling kelayakan terbabit dan boleh memohon kelayakan tambahan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan mereka.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebelum ini berkata pelaksanaan BUDI95 akan memberikan penjimatan kepada rakyat Malaysia yang layak hingga kira-kira kira-kira RM200 sebulan.

Kerajaan menyarankan orang ramai memastikan butiran pada MyKad dan lesen memandu adalah tepat bagi mengelakkan kelayakan mereka terjejas dan semakan boleh dibuat menerusi portal rasmi BUDI95, iaitu www.budimadani.gov.my.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan