KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Suasana di stesen-stesen minyak di sekitar ibu kota dan beberapa negeri tengah malam ini "agak meriah" berikutan peluasan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kepada 16 juta rakyat Malaysia mula dinikmati pada 12 tengah malam.
Mahu menjadi antara yang terawal menerima manfaat BUDI95 menyebabkan ada yang baru tamat kerja syif malam dan ada juga yang sengaja menunggu detik tengah malam di stesen minyak untuk menikmati harga baharu petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter.
Tinjauan Bernama di beberapa stesen minyak mendapati proses pengisian petrol dan pengesahan transaksi berjalan dengan lancar hasil kesungguhan petugas yang bersiap sedia sejak awal malam.
Pengguna yang ditemui ternyata berpuas hati kerana kaedahnya amat mudah, iaitu mereka hanya perlu membuat pengesahan menggunakan MyKad di stesen minyak dan bayar mengikut kaedah pilihan sama ada secara tunai, kad kredit atau debit, atau e-dompet.
Kemudahan itu benar-benar menyenangkan dan membuktikan komitmen kerajaan dalam melaksanakan dasar yang mesra rakyat.
Pengusaha stesen minyak di Jalan Tun Razak di sini, Wan Muhammad Hafidz berkata pihaknya telah membuat persediaan lebih seminggu bagi memastikan kelancaran pelaksanaan BUDI95 di premisnya.
Beliau berkata para pekerja dilatih untuk memberikan bantuan sekiranya pengguna menghadapi kesulitan semasa melakukan transaksi.
"Persediaan dari segi sistem dan latihan pekerja telah berjalan sejak awal. Kami sebenarnya sudah bersedia sejak seminggu lepas untuk menghadapi hari yang ke-30 bulan ini," katanya ketika ditemui malam ini.
Sementara itu, Safiyyah Affandi, 32, yang bekerja sebagai pembantu tadbir berkata proses pengisian petrol sangat mudah dan dia tidak berdepan dengan sebarang masalah.
Pendapat sama diakui Amirul Hakim, pengacara media sosial berusia 22 tahun berasal dari Batu Pahat, Johor, yang berkata dia hanya mengambil masa kurang dua minit untuk mengisi minyak ke dalam kenderaannya.
"Sangat mudah, tak sampai dua minit sudah selesai," katanya yang menetap di ibu negara.
Di SELANGOR, Mohamad Johari Mustaffa yang ditemui di Petron Batu Tiga, Shah Alam mengakui tidak menghadapi masalah menggunakan kaedah baharu untuk menikmati inisiatif BUDI95.
Bagaimanapun, operator kilang berusia 23 tahun itu mengakui belum benar-benar membiasakan diri dengan penggunaan MyKad untuk menebus subsidi di stesen minyak, namun dia yakin kaedah itu bukanlah perkara rumit, sebaliknya boleh dikuasai dengan cepat.
Sementara itu, pemandu lori I. Ahrishan, 34, berkata pelaksanaan BUDI95 yang berkuat kuasa pada tengah malam ini membantunya menjimatkan perbelanjaan harian.
"Saya pergi balik kerja naik motosikal dan teringat yang tengah malam ini BUDI95 bermula. Lepas mengisi minyak penuh, saya perasan berjaya menjimatkan kira-kira RM1.50 berbanding perbelanjaan biasa," katanya.
Di PERAK, seorang pereka bentuk model mainan, Oh Jee Shyan, 42, sanggup menunggu hingga detik tengah malam bagi menjadi antara yang pertama menikmati subsidi petrol RON95 di sebuah stesen minyak di Jalan Sultan Azlan Shah, Ipoh.
Oh yang membelanjakan kira-kira RM400 sebulan untuk petrol berkata menerusi BUDI95, dia dapat menjimatkan lebih kurang RM12 bagi setiap kali isian, seterusnya membantu mengurangkan kos bulanan.
Pengalaman berbeza dilalui seorang penuntut universiti, Rania Ardini Mohd Asri, 21, apabila mesin pembaca MyKad tidak dapat mengimbas kad pengenalannya pada percubaan pertama, namun kecekapan petugas di stesen minyak menjadikan proses selanjutnya lebih mudah.
Di PAHANG, pengawal keselamatan P S R Sundra Moorthi, 69, mengibaratkan inisiatif kerajaan itu sebagai serampang dua mata yang memberikan manfaat kepada rakyat melalui penjimatan kos minyak, sementara kerajaan pula berupaya menangani isu ketirisan subsidi.
"Kami menghargai langkah positif ini, apatah lagi cara mendapatkan minyak subsidi amat mudah hanya dengan menggunakan kad pengenalan. Saya berharap usaha murni ini diteruskan untuk jangka masa panjang," katanya ketika ditemui di sebuah stesen minyak di Kuantan.
Di TERENGGANU, pekerja kedai makan, Saiful Lizam, 37, berkata BUDI95 amat bermakna kerana lazimnya dia membelanjakan RM6 untuk isian penuh tangki motosikalnya, namun kini hanya perlu membayar RM4.47.
Pendapat sama turut disuarakan seorang penjawat awam, Sulaimi Said, 58, yang tidak menyangka proses semakan dan pengesahan MyKad bagi menikmati BUDI95 boleh dilakukan dengan pantas tanpa menghadapi sebarang masalah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial