DUNIA

Harga Minyak Naik, OPEC+ Dijangka Tingkatkan Pengeluaran

30/09/2025 12:23 AM

ISTANBUL, 29 Sept (Bernama-Anadolu) -- Harga minyak meningkat sedikit pada Isnin berikutan ketegangan geopolitik berterusan yang meningkatkan kebimbangan terhadap bekalan global, sekali gus mengimbangi tekanan daripada penyambungan semula aliran minyak dari wilayah Kurdistan Iraq dan jangkaan peningkatan pengeluaran oleh OPEC+, lapor Anadolu Ajansi.

Minyak mentah Brent diniagakan pada US$68.80 setong pada 9.14 pagi waktu tempatan (0614 GMT), meningkat 0.2 peratus berbanding penutupan sebelumnya iaitu US$68.69.

Penanda aras Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate (WTI) pula meningkat 0.2 peratus kepada US$65.09 daripada US$64.98 dalam sesi terdahulu.

Sementara itu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Turkiye Alparslan Bayraktar mengumumkan pada Sabtu yang penghantaran minyak melalui saluran paip Iraq-Turkiye disambung semula.

Saluran paip berkembar itu, dengan kapasiti gabungan kira-kira 1.5 juta tong sehari (bpd), menghubungkan telaga minyak di Iraq termasuk wilayah pentadbiran Kurdistan (KRG) ke terminal eksport Mediterranean di Pelabuhan Ceyhan, Turkiye.

Bayraktar berkata penghantaran awal dijangka purata sekitar 200,000 tong sehari dan saluran paip itu ditutup sejak gempa bumi pada 6 Februari 2023 sebelum siap dibaik pulih oleh pengendali saluran paip negara, BOTAS, pada Oktober tahun lepas.

Pasaran juga memberi tumpuan kepada mesyuarat OPEC+ pada Ahad ini dan negara anggota OPEC dan sekutunya dijangka membincangkan peningkatan pengeluaran untuk bulan November. Menurut penganalisis, langkah itu bertujuan untuk merebut semula bahagian pasaran yang hilang kepada pengeluar syal minyak AS sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan